.jpg)
BARU-BARU ini R Nadeswaran mengarang suatu artikel bertajuk ‘Have the LCS, MACC chief’s shares scandals been forgotten’ yang diterbitkan oleh beberapa portal di atas talian.
Artikel tersebut antara lain menyatakan kekecewaan beliau terhadap kononnya tiada tindakan yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan ini terhadap isu-isu berkaitan kapal tempur pesisir atau littoral combat ships (LCS) serta berkenaan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Pertama sekali perlu diingatkan ramai rakyat Malaysia percaya Kerajaan Perpaduan ini tidak sama sekali cuba untuk menutup isu-isu ini dengan harapan agar orang ramai akan terus melupakannya.
Sebaliknya saya percaya rakyat Malaysia pada hari ini amat cerdik dan akan mengkritik kerajaan secara kritis sekiranya berlaku sebarang perkara yang difikirkan mereka sebagai tidak pro-rakyat.
Berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu yang dikepalai oleh Dr Mahathir Mohamad, fokus utama Kerajaan Perpaduan yang kini dipimpin oleh Anwar Ibrahim adalah untuk memulihkan semula ekonomi negara dan terus bergerak ke hadapan dengan lebih maju berbanding untuk mencantas individu-individu yang mengetuai organisasi-organisasi utama badan kerajaan yang dianggap tidak menyebelahi mereka.
Malah hal ini juga dicerminkan oleh Menteri Ekonomi sendiri Rafizi Ramli yang dilihat ingin memberikan fokus berkaitan isu ekonomi serta kebajikan rakyat daripada mengamalkan politik dendam sebagaimana yang berlaku semasa tempoh kerajaan Tun Mahathir sebelum ini yang jelas sebenarnya lebih merencatkan ekonomi negara.
Lebih teruk lagi amalan politik dendam ini sebenarnya akan membuatkan keadaan ekonomi negara lebih tidak stabil kerana kekurangan keyakinan daripada pelabur-pelabur yang mereka lihat, kerajaan seolah-olah langsung tidak mengambil peduli berkenaan hal ehwal ekonomi tetapi sebaliknya lebih mementingkan untuk memecat pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan seterusnya membuat lantikan politik ke jawatan-jawatan penting kerajaan seperti yang telah berlaku sebelum ini.
Kesan-kesan negatif daripada pelbagai keputusan dan tindak tanduk kerajaan pimpinan Mahathir sebelum ini juga semakin hari semakin dibuktikan.
Ia kelakuan yang sebenarnya lebih merosakkan negara dan artikel ini akan memberikan contoh-contoh dengan lebih terperinci.
Isu LCS
Nadeswaran membangkitkan isu LCS dan seterusnya mempersoalkan status siasatan kes ini yang seolah-olah dilihat tidak mempunyai sebarang kemajuan sehingga ke hari ini.
Penting untuk diingatkan terlebih dahulu isu LCS ini hanya terdedah sekitar beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan Kerajaan Perpaduan hari ini pula hanya berusia sebulan beberapa hari yang lalu.
Lanjutan daripada itu umum juga perlu ketahui bahawa setiap kertas siasatan yang dibuka oleh mana-mana badan penguatkuasa undang-undang di negara ini perlu melalui pelbagai proses yang ketat.
Setiap dokumen, keterangan, bukti dan sebagainya perlu diteliti dengan baik bagi memastikan pihak pendakwaan mempunyai kes yang kuat sekiranya ianya dibawa ke Mahkamah kelak.
Besar kemungkinan proses-proses ini hanyalah di peringkat awal lagi iaitu di peringkat penyiasatan oleh penguatkuasa sahaja, belum lagi ke pihak pendakwaan melalui Jabatan Peguam Negara dan seterusnya ke peringkat proses mahkamah pula.
Sekiranya pihak penguatkuasa dipaksa atau ditekan oleh pihak media, ahli politik atau menteri untuk mempercepatkan proses dan seterusnya memastikan individu berprofil tinggi tertentu didakwa di mahkamah tidak mustahil untuk kita lihat perkara yang berlaku sebelum ini berulang sekali lagi.
Suka untuk diingatkan terdapat banyak kes berprofil tinggi yang dibawa semasa kerajaan Pakatan Harapan bawah tampuk kepimpinan Mahathir ditarik balik atau individu-individu yang didakwa dibebaskan oleh mahkamah kerana pertuduhan-pertuduhan yang dibawa oleh mereka dilihat tidak lengkap.
Dalam erti kata lain sebarang pertuduhan yang dibawa secara tergesa-gesa dan tanpa melalui proses yang ketat, peguam tertuduh dengan mudah sekali dapat berhujah secara teknikal berkenaan kekurangan atau kecacatan kertas-kertas pertuduhan ke atas anak guam mereka.
Malangnya, perkara ini gagal untuk diteliti oleh Nadeswaran sebelum beliau menulis artikel tersebut walaupun maklumat-maklumat ini boleh didapati secara atas talian dengan amat mudah sekali.
Untuk memberikan beberapa contoh dan sebagai peringatan kepada Nadeswaran serta orang ramai, kes-kes yang digugurkan akibat daripada pertuduhan yang dibawa secara sembrono adalah seperti kes-kes Musa Aman dan Azeez Rahim.
Baru-baru ini pula kita dikejutkan dengan kenyataan seorang pegawai penyiasat SPRM yang memberikan keterangan di mahkamah (secara bersumpah) bahawa Peguam Negara sebelum ini Tommy Thomas memberikan kebenaran agar bekas pengerusi Felda Shahrir Samad didakwa di mahkamah atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1 juta walaupun kertas siasatan pada masa itu tidak lengkap.
Hal ini sendiri jelas menunjukkan sikap untuk membawa pertuduhan ke atas individu-individu berprofil tinggi tidak sama sekali menunjukkan sesebuah kerajaan itu memperjuangkan isu rasuah.
Tetapi sebaliknya ia lebih menunjukkan kepada sikap politik dendam serta cubaan untuk menekan lawan-lawan politik dengan membuat dakwaan terpilih (selective prosecution) sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Sedangkan kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang tidak mengganggu badan-badan penguatkuasa kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh etika dan dedikasi bagi memastikan setiap siasatan dan pendakwaan yang dibawa mempunyai merit yang tinggi dan boleh dibuktikan di mahkamah kelak terutamanya apabila beban pembuktian yang diperlukan adalah ‘melampaui keraguan yang munasabah’.
Oleh itu penulisan Nadeswaran melalui artikel tersebut sebenarnya adalah satu penulisan yang cuba menghasut rakyat untuk mempunyai pandangan serong dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap badan-badan penguatkuasa undang-undang di negara ini terutamanya terhadap SPRM dan Azam Baki khususnya.
Lebih menyedihkan dikhuatiri artikel tersebut akan turut menjejaskan imej dan reputasi SPRM di mata rakyat Malaysia dan seterusnya membantutkan usaha Kerajaan Perpaduan ini untuk memulihkan semula imej badan-badan kerajaan di mata masyarakat yang sering kali dipertikaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir sebelum ini yang acap kali menyatakan kononnya pegawai kerajaan adalah pemalas dan sebagainya.
Isu Saham Azam Baki
Melalui Artikel tersebut Nadeswaran turut menyelitkan isu pegangan saham yang dikaitkan dengan Azam Baki yang sebenarnya sedikit sebanyak menunjukkan seolah-olah beliau mempunyai dendam peribadi dengan Azam Baki.
Suka saya ingatkan kepada Nadeswaran serta orang ramai isu di sini telah pun ditangani daripada pelbagai sudut termasuklah oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang memberikan kenyataan rasmi bahawa tiada sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku berkaitan isu ini.
Malah penulis artikel yang mensensasikan isu ini juga iaitu Lalitha Kunaratnam disaman oleh Azam Baki dan kes tersebut kini hanya menantikan untuk diteruskan dengan perbicaraan penuh.
Tambahan daripada itu, Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) juga mendapati bahawa tiada keperluan untuk memanjangkan isu di sini lagi kerana kenyataan rasmi SC sendiri serta tindakan Azam Baki yang menyaman Lalitha Kunaratnam.
Terakhir sekali perlu diingatkan sekali lagi Kerajaan Perpaduan ini baru sahaja berusia sebulan dan untuk Nadeswaran mengharapkan kes-kes berprofil tinggi dibawa ke muka pengadilan dengan segera adalah tidak adil bukan sahaja kepada Kerajaan Perpaduan sendiri malah, juga kepada penguatkuasa undang-undang di negara ini seperti SPRM dan Polis DiRaja Malaysia serta kepada Jabatan Peguam Negara.
Saya percaya sekiranya sebarang petuduhan dibawa ke mahkamah sebagaimana yang diharapkan oleh Nadeswaran, kes yang dibawa adalah lebih jitu, padu dan sukar dipertahankan oleh tertuduh berbanding kes-kes yang dibawa secara tergesa-gesa, semata-mata untuk menjadi kerajaan popular di mata rakyat.
Ingatlah Kerajaan Perpaduan ini walaupun baru berusia sebulan ia dilihat lebih prihatin dan mendengar pendapat-pendapat pegawai kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan tidak seperti kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Buat masa ini biarlah Kerajaan Perpaduan ini fokus terhadap kerja-kerja bagi memulihkan ekonomi negara kita ini terlebih dahulu.
Saya juga percaya Kerajaan Perpaduan ini meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada agensi kerajaan dan badan penguatkuasa undang-undang untuk melaksanakan kerja-kerja mereka dengan penuh bertanggungjawab dan lebih penting lagi tanpa sebarang gangguan politik agar badan penguatkuasa undang-undang di Malaysia lebih bebas dan profesional. – 27 Disember, 2022.
* Soraya Kismat, peguam
Komen