KKM lapor 480 kes baharu Covid-19, 4 kematian


Seramai 885 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital, dengan 45 orang di tempatkan di unit rawatan rapi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2022.

JUMLAH kes baharu Covid-19 terus catat penurunan dengan 480 kes direkodkan semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Untuk sembilan hari berturut-turut jangkitan baharu kekal bawah 1,000 kes.

Menurut data di laman web KKMNow jumlah keseluruhan jangkitan kini 5,023,999 kes sejak pandemik melanda negara pada Mac 2020.

Kes aktif kini sebanyak 13,818, turun 21.% berbanding 14 hari lalu, dan terendah sejak Disember 2020.

Angka harian semalam paling tinggi di Selangor iaitu 199 kes, diikuti Pulau Pinang (99) dan Kuala Lumpur (44).

Semalam juga sebanyak empat kematian akibat Covid-19 dilaporkan, iaitu dua di Johor, manakala Kedah dan Pulau Pinang masing-masing satu kes. Ini sekali gus menjadikan jumlah kematian kini mencecah 36,835 orang, menurut data KKM.

Sementara itu, seramai 885 pesakit Covid-19 sedang menerima rawatan di hospital. Daripada jumlah itu, 45 pesakit di tempatkan di unit rawatan rapi, dengan 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – 27 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen