PIHAK berkuasa sedang membuat penilaian mengenai kerosakan yang dialami akibat gempa bumi berskala 5.2 magnitud yang melanda Ranau malam semalam.
Pegawai Daerah Faimin Kaimin berkata pihaknya tidak menemukan sebarang kerosakan serius pada struktur bangunan di kawasan bandar termasuk di Kundasang.
Bagaimanapun, Faimin yang juga pengerusi jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkata beliau masih menunggu laporan penilaian berhubung kerosakan dari kawasan kampung dan sekolah oleh pejabat pelajaran daerah.
“Kami mungkin akan dapat gambaran yang jelas selepas solat Jumaat hari ini,” katanya.
Sementara itu, Taman Sabah sudah menghantar sebuah pasukan bagi menilai kerosakan yang berlaku di Gunung Kinabalu.
Pengarahnya Dr Jamili Nais berkata laluan di kilometer 1.5 di pegunungan itu didapati rosak namun masih boleh dilalui, sambil menambah yang laporan penuh penilaian akan disiapkan selewat-lewatnya pada jam 3 petang.
Taman Sabah menghentikan sebarang aktiviti pendakian di pergunungan tersebut sementara menanti laporan penilaian siap dan semua kerosakan dibaiki di laluan tersebut, katanya lagi.
Sejumlah 238 orang, termasuk penghuni, pekerja pembinaan dan anggota Pasukan Khas Pencari dan Penyelamat menuruni pegunungan itu pada waktu sekitar jam 11 malam semalam, selepas diarahkan untuk mengosongkan rumah persinggahan yang didiami mereka ekoran gempa bumi yang berlaku.
Pendaki mula tiba di pintu Timpohon di kaki pegunungan tersebut secara berkumpulan dari jam 1.45 pagi.
Operasi menyelamat di taman berkenaan dihentikan sekitar jam 4.30 pagi selepas kesemua pendaki berjaya turun dengan selamat. – 9 Mac, 2018.
Komen