KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg boleh mengetuai pemimpin negeri dalam menentukan terma dan prosedur bagi mereka yang ingin meninggalkan Islam, kata peguam yang mengendalikan kes pertukaran agama.
Ia termasuklah menetapkan bidang kuasa yang jelas mengenai jabatan yang bertanggungjawab untuk meluluskan penukaran serta menetapkan had bagi sesi kaunseling yang diperlukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sarawak (Jais).
Rakyat Sarawak yang mahu meninggalkan Islam, yang dianggarkan oleh peguam dalam beberapa ratus orang, tertakluk kepada prosedur yang samar hingga menyebabkan kes mereka tergantung selama beberapa tahun sebelum boleh menukar status agama mereka.
“Pemohon terpaksa menunggu, ada kalanya sehingga meninggal dunia,” kata peguam hak asasi manusia dan hak tanah di Kuching, Simon Siah.
“Masalah paling besar ialah tiada prosedur yang jelas terutamanya oleh Jais. Setiap jabatan dilihat mempunyai prosedurnya sendiri yang perlu dipatuhi,” katanya.
Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu bahawa mahkamah syariah negeri mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan menukar agama, Abang Johari berjanji untuk menggubal undang-undang bagi mengelakkan kes itu “tergantung”.
Ketua menteri itu berkata undang-undang berkenaan akan digubal dalam masa enam bulan untuk mewujudkan prosedur operasi standard kepada mualaf sekiranya mereka mahu keluar daripada Islam.
Pengumuman Abang Johari itu disambut baik oleh peguam, yang sebelum ini hanya berjaya memenangi kes bagi segelintir anak guam mereka dalam menukar status agama.
Siah berharap ketua menteri dapat bekerjasama dengan Unit Hal Ehwal Bukan Islam Jais, Jabatan Peguam Negara, komuniti Buddha dan Kristian dan semua pihak yang terlibat termasuk NGO Islam.
Pandangan pihak berkepentingan ini amat perlu bagi membangunkan penyelesaian pentadbiran untuk mewujudkan garis panduan yang betul dan tempoh untuk pemohon yang mahu menukar agama.
Tiada sebarang peruntukan dalam ordinan negeri yang membenarkan pertukaran agama, walaupun Mahkamah Persekutuan minggu lalu memutuskan seksyen dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 201 boleh digunakan untuk mendengar kes pertukaran agama.
Menemui jalan buntu
Tiada data rasmi berhubung pertukaran agama Islam. Kebanyakan peguam yang bercakap kepada The Malaysian Insight berkata kebanyakan kes mereka membabitkan perceraian dan mereka yang didaftarkan sebagai Islam ketika masih kecil.
Kes orang yang menganut agama Islam sejak lahir mahu meninggalkan agama itu atas kemahuan sendiri sangat jarang berlaku.
Peguam berkata, pemohon biasanya akan memulakan proses itu dengan menyediakan akuan berkanun (SD), atau surat sumpah untuk menyatakan, di bawah sumpah bahawa mereka tidak lagi mengamalkan ajaran Islam, dan mereka tidak dikenali sebagai orang Islam dan mereka berhasrat untuk meninggalkan agama Islam.
Pemohon kemudiannya akan membawa akuan berkanun itu kepada Jais dan mengisi borang tukar agama, sebelum dikehendaki menjalani sesi kaunseling yang dijalankan oleh pegawai Jais.
“Biasanya apa yang berlaku selepas pemohon mengisi borang, terdapat pertemuan dengan pimpinan Jais untuk menentukan siapa yang boleh atau tidak boleh keluar daripada Islam,” kata Siah.
“Dan tiada garisan masa untuk proses itu. Kebanyakan orang tersekat di situ.”
Jumlah sesi kaunseling yang diperlukan tidak ditentukan mengikut undang-undang, kata peguam.
“Bahagian ini yang tidak jelas,” kata peguam jenayah dan keluarga dari Kuching Francis Teron.
“Berdasarkan pengalaman saya, adakalanya ia mengambil masa enam bulan, atau lebih daripada setahun. Adakalanya kurang daripada itu,” katanya yang pernah mengendalikan lebih 20 kes pertukaran agama sejak 2014.
“Ini merupakan satu bahagian yang perlu mereka perbaiki. (Sesi itu) tidak boleh dibuat tanpa had. Mereka boleh menyalahgunakan kuasa dan mungkin mengenakan sekatan kepada pemohon,” katanya.
Selepas mendapat kelulusan Jais, ia kemudiannya akan menghantar surat kepada Jabatan pendaftaran Negara (JPN).
“Bagaimanapun surat berkenaan adalah sulit dan tidak didedahkan kepada anak guam kami. Jadi mereka tiada salinan surat berkenaan,” kata Siah.
Kebanyakan kes pertukaran agama di Sarawak berdepan masalah di JPN, menurut peguam, yang mana pemohon biasanya akan diminta membawa perkara itu ke mahkamah.
Tanpa keputusan daripada Majlis Agama Islam Sarawak, atau Mahkamah Syariah Sarawak atau Jais, Jabatan Pendaftaran Negara biasanya tidak akan meneruskannya, kata peguam.
Mustahil untuk diteruskan
Dari situ, terdapat dua pilihan yang perlu dipertimbangkan ketua menteri dalam semakan undang-undangnya, kata Francis.
“Pertama, beliau boleh memperkasakan Jais untuk mengendalikan kes orang yang mahu keluar daripada Islam. Saya telah menasihatkan anak guam saya yang pernah bertemu dengan saya sebelum ini, untuk mengikut proses pentadbiran dan tidak mencabarnya di mahkamah sivil,” katanya.
“Jais akan mengeluarkan surat pengesahan bahawa mereka kini dianggap keluar daripada Islam, yang akan dimajukan kepada JPN, yang mana pemohon boleh rujuk bila mereka boleh memohon untuk menukar kad pengenalan dan memadam perkataan Islam pada kad pengenalan mereka.”
Satu lagi cara, untuk meminda ordinan syariah sebaliknya, denda yang dikenakan kerana keluar daripada Islam perlu dihapuskan.
“Secara teknikalnya, di bawah syariah, menukar agama dianggap kesalahan jenayah. Penjara atau sebat boleh dikenakan, dan ia tidak memberi apa-apa makna dalam konteks kebebasan beragama di Sarawak.
Francis berkata peruntukan itu perlu dipinda untuk proses yang lebih jelas bagi kes pertukaran agama: “Benarkan mereka meninggalkan agama dengan mudah, dan tidak perlu sakitkan kepala di mahkamah sivil.”
Sementara itu peguam jenayah dan keluarga dari Kuching Jezamine Dior berkata ia tidak perlu melibatkan mahkamah syariah.
“Saya tidak mahu perkara ini diuruskan oleh mahkamah syariah. Kebebasan beragama adalah hak asasi manusia yang asas, kamu tidak perlukan kebenaran kuil atau gereja atau masjid. Jika kamu mahu tukar, kamu hanya perlu hantar permohonan kepada Jais dan itu sudah memadai.
“Saya mahu ia dipermudahkan. Akuan berkanun sudah cukup. Saya tidak mahu mereka ke sesi kaunseling. Mengapa mereka perlu berbuat demikian? Sekiranya mereka perlukan kaunseling, pastikan garis masa ditetapkan dengan betul.
“Saya ada anak guam yang tertangguh kesnya selama beberapa tahun, saya sebelum ini perlu mengancam (Jais) untuk meminta anak guam saya ke sesi kaunseling. Hanya bila saya hantar salinan surat kepada AGS dan KM, barulah kes itu berjalan,” katanya.
Dior juga percaya cubaan ketua menteri untuk menggubal undang-undang boleh dilakukan dalam “situasi menang-menang” kepada orang Islam dan juga kepada mereka yang mahu meninggalkan Islam. Inisiatif beliau amat dialu-alukan kerana mahkamah syariah juga berdepan masalah, katanya.
“Mereka berasa tersekat dan terperangkap. Mereka tidak mahu menghina agam Islam, tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan peribadi mereka. Mereka tidak boleh berkahwin atau memiliki anak sendiri tanpa menerima kesan. Mereka tidak boleh mewarisi tanah, yang perlu diuruskan menerusi pihak berkuasa Islam,” kata Dior.
Tambah Siah, peruntukan baharu itu perlu memastikan mereka yang menukar agama Islam mengamalkan agama itu atas kehendak mereka sendiri.
“Mereka mesti masuk dengan penuh keikhlasan dan percaya sepenuhnya supaya kesucian agama terus dilindungi.”
“Tiada siapa yang mahu memperkecilkan agama lain. Ini adalah isu yang sensitif. Ia adalah pilihan peribadi pemohon. Itu urusan mereka dengan tuhan.” – 9 Mac, 2018.
Komen