22 maut dalam kebakaran pusat jagaan di Russia


Kebakaran merebak lebih 180 meter persegi dalam bangunan kayu dua tingkat, lapor agensi berita kerajaan Russia TASS. – Gambar AFP, 24 Disember, 2022.

KEBAKARAN di sebuah pusat jagaan yang beroperasi secara haram di bandar Kemerovo, Siberia mengorbankan 22 nyawa, menurut jawatankuasa penyiasat Russia hari ini.

“Kebakaran berlaku semalaman di sebuah premis persendirian yang digunakan sebagai pusat jagaan secara haram,” kata jawatankuasa penyiasat di Telegram, sambil menambah “angka kematian meningkat kepada 22 orang”.

Kenyataan sebelum ini berkata 20 orang meninggal dunia.

“Enam lagi cedera, dua daripadanya dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal dengan kesan melecur,” menurut kenyataan jawatankuasa itu di Telegram.

Kebakaran merebak lebih 180 meter persegi dalam bangunan kayu dua tingkat, lapor agensi berita kerajaan Russia TASS.

Dalam video yang disebarkan perkhidmatan kecemasan, deretan kenderaan kecemasan bersiap sedia menunggu di luar bangunan, ketika anggota bomba memadamkan kebakaran.

Imej yang dikeluarkan perkhidmatan kecemasan menunjukkan bangunan itu kemudiannya hangus terbakar.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada kecuaian penghuni mengendalikan dapur pemanas,” kata pentadbiran wilayah Kuzbass di laman webnya.

Menurut Jawatankuasa Penyiasat Russia, ia akan membuka kertas siasatan bagi meneliti punca kematian akibat kecuaian.

Pada 2018, kebakaran di pusat beli-belah di Kemerovo mengorbankan 60 orang, termasuk kanak-kanak dan remaja. – AFP, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen