KIRA-kira 20 peratus mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat mendakwa masih menanti baki pampasan daripada kerajaan sebelum ini selepas setahun kediaman mereka musnah dalam bencana banjir besar yang melanda.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berkata mangsa banjir diberitahu akan menerima pampasan sehingga RM10,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, penduduk yang terjejas berharap kerajaan baharu akan membantu mereka dalam memastikan baki pampasan itu diterima.
Pengerusi Rukun Tetangga Taman Sri Nanding Mohd Rozelan Alias mendakwa 80% daripada 1,300 keluarga yang terjejas sudah menerima pampasan.
“Mangsa banjir tahun lepas terima pampasan RM2,500 daripada kerajaan Selangor tapi ada 20% lagi yang masih menanti baki RM5,000 daripada RM10,000 daripada kerajaan sebelum ini.
“Penduduk tak senang hati masih tak dapat pampasan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight semalam.

Rozelan berkata sejak pertukaran kerajaan, dia tidak tahu siapa yang perlu dirujuk berkaitan baki pampasan RM5,000 itu.
Hujan lebat pada 18 dan 19 Disember tahun lalu menyebabkan banjir besar melanda sebahagian besar kawasan di Lembah Klang.
Hulu Langat antara kawasan yang teruk terjejas dengan air naik mencecah bumbung sementara rumah berhampiran dengan sungai dihanyutkan arus yang kuat.
Kata Rozelan, perkara itu sudah dimaklumkan kepada ADUN Dusun Tua Edry Faizal yang terlibat dalam Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Kami dah bangkitkan isu ini kepada beliau dan masih menanti maklum balas daripadanya,” katanya.
Dalam pada itu, Rozelan juga berkata penduduk masih trauma setiap kali hujan turun dalam tempoh yang lama.
“Setakat ini hanya banjir kecil saja. Tidak tinggi, kira-kira dalam satu kaki.
“Kami harap kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan teliti pelan mitigasi banjir untuk jangka panjang untuk kawasan ini,” katanya.
Penduduk Rosli Abdullah, 60 akui masih trauma dengan banjir besar yang melanda tahun lalu itu.
Katanya kejadian seumpama itu pertama kali dialaminya di mana air naik sehingga tujuh kaki.
“Masa kejadian lapan orang dalam rumah. Semua berjaya ke tempat selamat ketika banjir melanda.
“Tapi keesokannya jadi makin teruk apabila kami hilang semua barang-barang dan seluruh kawasan ditutupi lumpur,” katanya yang masih menanti baki bantuan itu daripada kerajaan.
Tambahnya, “saya tak tahu apa status pampasan itu. Saya dah rujuk ketua kampung berkait isu ini.”
Dalam pada itu, Rosli berkata dalam bencana banjir itu, dia dan keluarganya kerugian kira-kira RM400,000.
“Dalam kejadian itu, kereta saya, kereta anak-anak dan kereta adik saya rosak. Semua masih tersadai di bengkel sampai hari ini.
“Saya masih perlu bayar ansuran bulanan dan terpaksa menggunakan motosikal untuk ke mana-mana.
“Kebanyakan memang kerugian besar. Kerajaan kata akan bagi pampasan RM1,000 untuk setiap kereta. Saya dah mohon tapi tak lulus,” katanya.

Seorang lagi penduduk Yusni Yusoff, 67 berkata dia bimbang apabila hujan turun berterusan.
“Saya risau betul bila musim hujan ini sebab pengalaman (banjir tahun lalu) itu menakutkan.
“Saya hilang semua benda, memang tak ada tinggal apa. Tapi kami bersyukur kepada kerajaan sebab beri pampasan dan sukarelawan-sukarelawan yang bantu kami ketika susah.
Dia turut berharap kerajaan hari ini akan meneliti sistem pengaliran dan sungai di sekitar kawasan itu.
“Kami nak rasa selesa di rumah kami dan tidak bimbang lagi (tentang banjir),” katanya.

Sementara itu, usahawan Alzari ‘Joey’ Mahshar salah seorang sukarelawan banjir yang meluangkan masa sebulan membantu mangsa banjir tahun lalu berkata dia lega penduduk sudah mula bersatu dan membantu satu sama lain.
“Ada penduduk yang masih perlukan kemudahan di sini. Sebelum ini kami bantu sediakan 300 tong gas dan dapur memasak.
“Kami harap kerajaan baharu akan tolong ikut keperluan penduduk,” katanya. – 25 Disember, 2022.
Komen