Jalan Batang Kali-Genting dibesarkan, dibuka semula Januari, kata Amirudin


Menurut Amirudin kawasan sebelah kiri atau kanan jalan itu akan dibesarkan namun ia hanya untuk kenderaan kecil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2022.

JALAN Batang Kali-Genting yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan dibesarkan dan dibuka semula selewatnya pada pertengahan bulan hadapan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.

Beliau berkata pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

“Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highland, untuk membenarkan penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi ia untuk kenderaan ringan sahaja yang boleh melaluinya.

“Kawasan itu sudah ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan untuk mengawal laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak Stadium Shah Alam hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang majlis sambutan ambang tahun baharu 2023 bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menghalang mana-manaa pihak termasuk syarikat swasta atau kelab penduduk untuk menganjurkan majlis berkenaan namun katanya ia perlu dijalankan secara sederhana.

“Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat seperti yang dibuat pada tahun lalu dan untuk itu saya sedang merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Saya juga akan hadir ke program tersebut tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai inisiatif RiDE, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi inisiatif tersebut dengan memanfaatkan seramai 3,000 orang penghantar makanan yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. – Bernama, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen