MUSIM cuti sudah tiba. Ada antara kita yang akan pergi melancong. Sambil itu, ramai pelawat dari seluruh dunia juga akan mengambil peluang untuk menziarah negara kita.
.jpg)
Jangan lupa, Covid-19 masih berleluasa dan kita semua masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghindarinya.
Selain itu, kami ingin mengingatkan anda tentang satu lagi penyakit pernafasan yang bukan sahaja boleh merosakkan percutian anda, malah menjejaskan kesihatan anda juga.
Penyakit yang dimaksudkan itu ialah penyakit influenza yang juga dikenali sebagai flu. Penyakit ini tidak harus dipandang remeh, terutama sekali jika anda berumur 65 tahun ke atas.
Lebih-lebih lagi jika anda menghidap diabetes, penyakit buah pinggang dan/atau keadaan kesihatan kronik yang lain.
Penyakit flu boleh menyebabkan gangguan pernafasan akut, radang paru-paru serta pelbagai komplikasi serius yang lain. Ia juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung lebih 10 kali ganda dalam tempoh 7 hari pertama selepas seseorang telah dijangkiti.
Risiko strok (angin ahmar) juga boleh bertambah sebanyak dua atau tiga kali ganda dalam tempoh 2 minggu pertama jangkitan. Hakikat bahawa flu dapat dikaitkan dengan serangan jantung, radang paru-paru dan strok sesuatu yang membimbangkan.
Masing-masing merupakan punca kematian kedua, ketiga dan keempat tertinggi (selepas Covid-19) di Malaysia pada tahun 2022.
Anda dinasihatkan berhati-hati jika merancang untuk melawat negara-negara hemisfera utara dengan kes flu yang sedang meningkat pada masa musim sejuk ini.
Walaupun Malaysia mengalami penularan flu sepanjang tahun, negara beriklim sederhana cenderung mengalami musim flu pada musim sejuk iaitu Disember hingga Mac di hemisfera utara, dan Jun hingga Ogos di hemisfera selatan.
Namun pada tahun ini, musim flu telah bermula awal di hemisfera utara. Bilangan kes telah meningkat secara mendadak sejak bulan Oktober dan telah mengatasi jumlah kes yang dilaporkan pada bulan yang sama tahun lepas 4 .
Peningkatan ini diramalkan akan berterusan dan musim flu yang teruk dapat dijangkakan berlaku di kebanyakan destinasi utara yang popular di kalangan pelancong Malaysia.
Setakat 2 Disember 2022, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat menganggarkan seramai 8.7 juta rakyat Amerika telah dijangkiti, 78,000 telah dimasukkan ke hospital, dan 4,500 telah meninggal dunia akibat punca yang berkaitan dengan flu.
Situasi tersebut telah mendorong media menggelarkannya sebagai “penularan wabak flu terburuk negara sepanjang dekad”.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis telah mengisytiharkan epidemik flu di tiga kawasan di Perancis, dan lima lagi kawasan termasuk Paris dan kawasan sekitarnya sebagai pra-epidemik
Dalam kemas kini pertamanya untuk musim sejuk tahun ini, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) England melaporkan purata 344 pesakit flu telah melawat hospital setiap hari dalam satu minggu – iaitu 10 kali ganda lebih ramai daripada jumlah yang dilihat pada awal Disember 2021.
Di Timur Jauh, pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan, Taiwan dan Jepun juga menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kes flu yang semakin bertambah, serta kemungkinan berlakunya
pandemik berkembar – penularan serentak virus flu dan Covid-19.
Penting untuk para pengembara memahami cara virus flu merebak. Bayangkan diri anda sedang menikmati suasana luar yang sejuk. Tidak lama kemudian, anda mendapati diri anda tergesa-gesa memasuki sebuah kafe yang selesa, dan menyertai pengunjung-pengunjung lain memanaskan badan dengan minuman coklat panas.
Walaupun pengalaman ini pasti dinikmati, hakikatnya pada musim sejuk, kita lebih cenderung dijangkiti flu ketika berada di dalam bangunan. Melalui batuk, bersin atau percakapan, orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus flu di dalam persekitaran yang sesak dan kurang pengudaraan.
Anda juga boleh mendapat jangkitan virus flu dengan menyentuh meja, pemegang pintu dan permukaan-permukaan lain.
Bergantung pada jarak anda dengan sumber dan tempoh pendedahan, anda mungkin mengalami serangan flu yang teruk, dan terpaksa menghabiskan percutian yang berharga di atas katil atau di hospital.
Katakan anda berjaya mengelak jangkitan flu sepanjang berada di destinasi percutian. Jangan sangka yang anda pulang tanpa virus flu.
Di dalam pesawat, anda mempunyai kebarangkalian setinggi 80% untuk mendapat flu jika ada penumpang yang dijangkiti – sama ada dia menunjukkan gejala atau tidak – yang duduk satu baris di hadapan atau di belakang anda, dalam jarak 2 tempat duduk di kedua-dua sisi.
Apatah lagi, virus flu boleh hidup sehingga 48 jam di permukaan tertentu, termasuk pemegang ruangan simpanan bahagian atas, tali pinggang keledar, skrin video, dulang makanan, alas tangan dan panel kawalan.
Anda boleh cuba menyahjangkit barang-barang ini. Namun, menyahjangkitkan setiap objek yang akan anda sentuh apabila anda mendarat, seperti bagasi, troli, pemegang pam tandas, pemegang pintu kereta dan sebagainya tidak praktikal.
Petua pencegahan
Ikuti SOP Covid-19 jika boleh. Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, ia dapat membantu mengurangkan risiko dijangkiti flu. Namun, oleh sebab orang di sekeliling kita mungkin tidak melakukan perkara yang sama, langkah ini mungkin agak kurang berkesan.
Oleh itu, anda disyorkan untuk mendapatkan perlindungan tambahan daripada vaksinasi flu tahunan untuk mencegah penyakit ini.
Apabila disuntik, vaksin ini memperkenalkan virus flu yang tidak aktif ke dalam badan kita. Virus ini telah dibunuh dan tidak dapat menyebabkan penyakit. Walau bagaimanapun, ia akan merangsang badan untuk menghasilkan antibodi yang akan bertindak jika anda telah didedahkan kepada virus flu.
Benarkan dua minggu untuk mencapai tahap imuniti yang diingini sebelum penerbangan anda. Seperti vaksinasi Covid-19, vaksinasi flu membantu mencegah penyakit yang teruk, kemasukan ke hospital dan kematian 9 .
Vaksinasi flu juga dikaitkan dengan 34% pengurangan risiko kejadian kardiovaskular yang buruk.
Terdapat juga penurunan risiko kematian sebanyak 18% yang dilaporkan dalam kalangan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.
Dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis 2, vaksinasi flu telah dikaitkan dengan pengurangan risiko kegagalan jantung sebanyak 22%, strok sebanyak 30%, serangan jantung sebanyak 19% dan radang paru-paru sebanyak 15%.
Mengetahui bahawa virus flu sentiasa bermutasi, vaksin flu yang tersedia pada masa ini telah dikemaskini untuk melawan dengan berkesan subjenis virus ini, yang buat masa kini sedang merebak di hemisfera utara.
Vaksinasi akan membantu mengurangkan risiko anda dijangkiti penyakit ini. Vaksinasi flu bukan hanya disarankan kepada mereka yang mengembara, tetapi kepada semua individu terutamanya golongan berisiko tinggi kerana kes flu yang melibatkan perjalanan udara boleh merebak dalam komuniti.
Jadi, jika anda belum mendapatkan vaksin terhadap penyakit flu, sekaranglah masa paling baik untuk melakukannya. Vaksinasi flu tahunan umpama pasport anda untuk percutian yang sihat.
Jangan keluar rumah tanpa vaksin. Vaksinasi flu boleh didapati di kebanyakan klinik swasta di Malaysia. – 24 Disember, 2022.
* Profesor Dr Zulkifli Ismail seorang pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik. Beliau merupakan pengerusi jawatankuasa teknikal Immunise4Life. Program ini satu usahasama melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia, dan Persatuan Penyakit Berjangkit Dan Kemoterapi Malaysia.
* Dr Christopher Lee seorang pakar perunding perubatan penyakit berjangkit dan ahli Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (“Malaysian Influenza Working Group”) di bawah naungan Persatuan Penyakit Berjangkit Dan Kemoterapi Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen