PEMINAT filem yang kecewa kerana adegan pelakon kegemaran mereka dipotong daripada filem selepas muncul dalam trailer boleh menyaman studio kerana pengiklanan palsu, hakim Amerika Syarikat (AS) memutuskan.
Dua peminat filem berkata Universal Pictures memperdaya mereka untuk menyewa filem 2019 “Yesterday” kerana trailer itu menampilkan pelakon Ana de Armas.
Peter Michael Rosza, 45, dari San Diego, dan Conor Woulfe, 39, dari Maryland, berkata mereka membayar lebih AS$3.99 seorang untuk menonton komedi Richard Curtis di Amazon Prime, tetapi tiada adegan melibatkan de Armas.
Saman yang difailkan awal tahun ini mendakwa peminat didorong dengan harapan bintang Cuba “No Time To Die” akan tampil dalam filem itu.
Bagaimanapun, mereka menerima filem yang tiada langsung penampilan Ana de Armas, kata saman itu, yang dilaporkan oleh media AS pada Jumaat.
Sehubungan itu, “pengguna sedemikian tidak diberikan sebarang nilai bagi sewaan atau pembelian mereka,” tambah saman itu.
Universal meminta Hakim Daerah AS Stephen Wilson membatalkan aduan itu, dengan alasan trailer dilindungi oleh Pindaan Pertama Perlembagaan AS, yang menjamin kebebasan bersuara.
Tetapi dalam keputusannya pada Khamis, Wilson menolak hujah studio, mengatakan trailer adalah ucapan komersial dan tertakluk kepada undang-undang mengenai pengiklanan yang jujur.
“Pada asasnya, trailer ialah iklan yang direka untuk menjual filem dengan menyediakan pengguna pratonton filem itu,” tulis hakim itu.
AFP tidak dapat menghubungi wakil Universal.
Saman itu menuntut sekurang-kurangnya AS$5 juta bagi pihak peminat yang kecewa.
Peguam akan bersidang semula untuk kes itu pada 3 April.
“Yesterday” arahan Danny Boyle menceritakan kisah seorang pemuzik, dilakonkan oleh Himesh Patel, yang didorong ke dalam realiti alternatif di mana The Beatles tidak wujud.
De Armas, 34, yang juga muncul dalam “Knives Out” pada 2019, pada asalnya berlakon dalam filem itu, dan muncul dalam trailer dan iklan tertentu, tetapi babaknya dipotong pada proses akhir suntingan, menurut saman itu. – AFP, 24 Disember, 2022.
Komen