MENTERI Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf kerana membuat perjalanan ke luar negara ketika puluhan ribu rakyat negeri itu menderita akibat banjir buruk melanda negeri
Beliau yang muncul semula di Terengganu hari ini berkata, biarpun di luar negara ketika waktu kritikal, beliau memantau perkembangan dan berbincang dengan jawatankuasa bencana negeri.
Perjalanannya ke Auckland, New Zealand itu pula dibuat selepas keadaan banjir di Terengganu sudah reda semasa gelombang pertama, katanya.
“Kerana saya tidak dapat bersama dengan mangsa banjir pada waktu kritikal saya mohon maaf kepada semua mangsa dan rakyat Terengganu.
“Saya faham walau apa penjelasan saya beri ia tidak bermakna, walau bagaimanapun sebagai rekod saya selalu meneliti (pantau) keadaan semasa banjir setiap masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di kediamannya selepas melawat mangsa banjir di di Kemaman hari ini.
Keberadaan Samsuri menimbulkan tanda tanya apabila beliau dilaporkan tidak kelihatan sewaktu banjir buruk melanda negeri tersebut, termasuk ketika lawatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Ia menimbulkan pelbagai kecaman dan sindiran di media sosial, termasuk dari pemimpin Umno yang mempersoalkan kesanggupan sebenar pemimpin PAS menangani nasib rakyat.
Sindiran tersebut antaranya disuarakan Shahrir Samad yang berkata PAS menolak untuk mengadakan pilihan raya sewaktu banjir kerana kononnya bimbang dengan kebajikan rakyat.
Bagaimanapun selepas menang pilihan raya, pemimpin PAS seperti Ahmad Samsuri sanggup ke luar negara ketika rakyat ditimpa kesusahan, katanya.
Ahmad Samsuri dituduh bercuti bersama keluarga di Auckland, New Zealand ketika negeri itu dilanda banjir besar dengan jumlah mangsa kini melebihi angka 40,000 orang.
Samsuri dan isterinya didakwa berlepas ke Auckland pada 11 Disember dan hanya pulang ke luar negara semalam.
Maklumat perjalanan tiket kapal terbang dan resit kereta sewa Samsuri di Auckland turut ditularkan di media sosial.
Pemimpin kerajaan Terengganu mempertahankan tindakan Ahmad Samsuri ke luar negara dan menganggap pihak yang mempersoalkan perkara itu cuma mempolitikkan isu tersebut. – 23 Disember, 2022.
Komen