Kerajaan teliti keperluan senaraikan telur import sebagai barang kawalan


KERAJAAN sedang meneliti keperluan menyenaraikan telur import sebagai barangan terkawal bagi memastikan harganya kekal mampu milik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Haslina Abdul Hamid berkata MAFS dalam perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai keperluan berkenaan.

Ia berikutan kebenaran sementara yang diberikan oleh MAFS pada 16 Disember lepas untuk membawa masuk telur dari sumber luar bagi menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lepas.

“Telur yang dibawa masuk dari sumber luar (memang) kecil sedikit (saiz) tetapi sekarang peranan kementerian (MAFS) adalah untuk menangani isu bekalan dan memastikannya sedia ada.

“Kita juga akan memastikan telur yang dibawa masuk berkualiti manakala KPDN memastikan harga (telur diimport) adalah mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengedaran Kit Makanan MTL dan Intervensi Pengedaran Telur Ayam di ibu pejabat FAMA di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Haslina meninjau persediaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membekalkan 62,500 kit makanan dan telur kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan diedarkan kepada mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) di negeri-negeri Pantai Timur.

Beliau berkata pengedaran itu bagi melengkapkan hasrat kerajaan mempertingkatkan bekalan dalam membantu golongan yang terkesan.

“Kita meningkatkan rantaian bekalan (telur) ke kawasan yang kita sudah kenal pasti memang kurang bekalan telur malah kita tambah lagi jumlah untuk dihantar ke Kelantan dan Terengganu.

“Selain NADMA, pengedaran melibatkan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan pergerakan bekalan berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah FAMA Zainal Abidin Yang Razalli berkata program tersebut mendapat kerjasama tujuh syarikat pengeluar telur untuk mengedarkan telur ke negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir, di samping menjamin ketersediaan bekalan telur di kawasan terlibat. – Bernama, 23 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen