INFLASI di Jepun pada November mencecah 3.7 peratus bulan ke bulan buat kali pertama dalam tempoh 41 tahun, memetik data Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun pada Jumaat.
Ia melebihi sasaran inflasi dua peratus yang ditetapkan Bank of Japan. Kenaikan inflasi didorong terutamanya oleh kenaikan mendadak dalam harga komoditi dan makanan, lapor Sputnik.
Harga makanan meningkat sebanyak 6.8 peratus berbanding November 2021. Harga gas pula menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus manakala harga gas kediaman dan pejabat melonjak 28.9 peratus.
Selain itu, harga elektrik turut meningkat sebanyak 20.1 peratus selain pengangkutan (6.7 peratus) dan rangkaian selular (20.1 peratus).
Jepun menghadapi kenaikan harga selama 14 bulan berturut-turut berikutan kadar pertukaran yen Jepun yang terendah.
Keadaan bertambah buruk selepas Barat mengenakan sekatan ke atas Rusia berhubung operasi ketenteraan khasnya di Ukraine sekali gus membawa kepada peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam harga sumber tenaga. – Bernama, 23 Disember, 2022.
Komen