NGO bergegas hantar bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu, Kelantan


Noel Achariam

Kumpulan persatuan sivil dan individu memulakan gerakan kumpul sumbangan dan menghantarnya kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2022.

RAKYAT Malaysia bertindak segera menghulurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan ketika banjir di pantai timur terus menerus menyebabkan banyak keluarga hilang tempat tinggal.

Beberapa kumpulan persatuan sivil dan individu memulakan gerakan mengumpul sumbangan sebanyak mungkin termasuk bantuan berupa bahan makanan, ubat dan membantu usaha membersihkan rumah mangsa banjir.

Mereka berkata walaupun kerajaan memberi bantuan, pengalaman lalu menunjukkan ia masih tidak mencukupi.

Presiden Gerakan Belia Islam Malaysia Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata kumpulan itu, di bawah Pusat Pengurusan Operasi Bencana (Sanggar Bakti) menghantar pasukan bantuan pertama ke Terengganu dan Kelantan dari Rabu, dan akan berada di sana hingga Ahad.

Beliau berkata pasukan pertama terdiri daripada tujuh pegawai menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van.

“Operasi ini membabitkan agihan makanan dan bahan membersihkan rumah di kawasan Besut.

“Pasukan ini dibantu aktivis dan sukarelawan dari cawangan Abim di Terengganu dan Kelantan.”

Katanya, setakat semalam sebanyak 250 bungkusan makanan, 24 botol cecair pencuci daripada Teepol dan 2,160 tuala wanita diagihkan kepada penduduk Gong Badak.

Beliau berkata mereka membelanjakan RM30,000, di mana Sanggar Bakti menerima sumbangan dalam bentuk pakaian, alatan pembersihan, makanan dan wang tunai daripada orang ramai.

“Setakat ini menurut maklumat daripada tabungbencana.com, kutipan sumbangan sebanyak RM13,409. 

“Sanggar Bakti memerlukan barangan untuk wanita dan kanak-kanak, makanan, peralatan kebersihan, selimut, bantal, makanan kering dan air mineral.”

Kawasan yang akan dikunjungi di Terengganu termasuk Kuala Terengganu, Kuala Berang, Kemaman dan Besut, sementara di Kelantan pula adalah Machang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Wakil persatuan Fisabillah Terengganu Muhammad Syariezal Ab Rashid berkata pasukannya akan mula menggerakkan bantuan bermula esok dengan fokus di daerah Paka.

“Kami sebenarnya sudah mula menggerakkan bantuan ketika gelombang pertama banjir bulan lalu.

“Jadi bagi gelombang kedua ini, kami akan ke Paka terlebih dulu. Kami akan membantu mengagihkan roti dan air, selain beras untuk 200 mangsa,” katanya.

Syariezal berkata keutamaan mereka ialah untuk mengenal pasti kawasan yang boleh dimasuki dan jenis bantuan diperlukan mangsa banjir.

Katanya, ia bagi memastikan setiap bantuan dihantar dengan sempurna dan memenuhi keperluan mangsa banjir, bukan sekadar memberikan barangan atau makanan yang tidak praktikal.

Beliau berkata Fisabillah yang mula beroperasi sejak 2016 menjalankan kempen kutipan derma untuk mangsa banjir.

“Kami sangat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai. Ia akan dapat membantu mangsa banjir.”

Mereka yang berhasrat mahu memberi sumbangan boleh melakukannya menerusi akaun Maybank Fisabillah di 5630 6415 8179. 

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Seri Qiyam Mohd Zulfadzli Abdul Halim berkata mereka bercadang untuk ke Pasir Mas, Kelantan dan Besut, Terengganu pada minggu depan.

Katanya, mereka akan menghantar tiga bas sukarekawan sebaik saja mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara.

“Kami akan masuk ke kawasan terjejas di mana penduduknya sudah diberikan kebenaran untuk pulang ke rumah.

“Pada awalnya kami ada pasukan yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan sebelum kami menghantar lebih ramai sukarelawan bagi misi membersihkan rumah.

“Kami akan ke Pasir Mas dan Besut, tetapi sudah tentu ia boleh berubah, bergantung kepada hasil tinjauan pasukan kami.”

Zulfadzli berkata pasukan mereka turut terdiri daripada beberapa kumpulan persatuan sivil lain di mana mereka berkongsi sumber dan tenaga kerja.

“Sukarelawan ini akan fokus kepada kerja pembersihan. Akan ada juga usaha lain dirancang untuk menghantar bahan persekolahan untuk kanak-kanak yang akan memulakan persekolahan pada Januari.” – 23 Disember, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen