Banjir jejas tempahan hotel bajet di Pantai Timur


Noel Achariam

Selain faktor cuaca, pengusaha juga terpaksa bersaing dengan hotel bajet yang beroperasi secara haram, menyukarkan lagi mereka untuk pulih sepenuhnya selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2022.

BELUM pun pulih sepenuhnya selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kini hotel bajet di Pantai Timur hampir langsung tidak menerima tempahan ekoran musim tengkujuh dan banjir, kata pengusaha.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Sri Ganesh Michiel memberitahu The Malaysian Insight, bencana banjir menjejaskan operasi kira-kira 500 ahli di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Beliau berkata kadar penginapan merosot sejak pertengahan November hingga awal bulan ini, menyebabkan kerugian sehingga 60%.

“Pengusaha masih belum pulih daripada kesan langsung akibat Covid-19, dan kini diuji dengan bencana banjir pula,” kata Ganesh.

Tambah beliau pengusaha memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih semula selepas kebanyakan tempahan hotel dibatalkan ekoran musim tengkujuh melanda negeri-negeri di Pantai Timur.

Berbeza di Melaka, Pulau Pinang dan Johor, pengusaha hotel bajet di tiga negeri itu bagaimanapun tidak tejejas semasa musim tengkujuh, kata Ganesh.

“Hotel-hotel di tiga negeri ini terletak di kawasan sekitar bandar dan tempat tumpuan pelancong, yang kadar penginapan melebihi 80%.

“Hujung minggu pula kebiasaannya penuh dengan tempahan mencecah sehingga 60%,” ujarnya.

Menurut Ganesh, MyBHA mempunyai 2,700 ahli di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, selain faktor cuaca, pengusaha juga terpaksa bersaing dengan hotel bajet yang beroperasi secara haram.

“Hotel-hotel ini juga mengiklankan premis mereka di platform dalam talian yang tidak dikawal selia oleh kerajaan.

“Oleh kerana mereka menawarkan harga yang lebih murah ini menyukarkan lagi perniagaan ahli-ahli kami untuk pulih,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada isu supaya operasi pengusaha berlesen tidak terjejas. – 23 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen