INILAH apa yang bakal kerajaan baharu lakukan, kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah pada pelancaran manifesto pakatan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Ini adalah manifesto government in waiting (bakal kerajaan),” katanya dalam ucapan alu-aluannya membuka majlis.
Beliau menjelaskan pelancaran itu dibuat hari ini bersempena tarikh bersejarah ulang tahun PRU 2008 yang mengubah suasana politik Malaysia.
“Kita pilih hari ini kerana tarikh ini bersejarah… bermulanya kecundang Umno-Barisan Nasional.
“Malam ini kita menyambut ulang tahun ke-10 perubahan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Saifuddin menjelaskan manifesto yang dikemukakan oleh PH adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan.
“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang. Bulan sudah tentu tidak,” kata Saifuddin, merujuk kepada PAS, yang tidak lagi bersama gabungan pembangkang itu.
Beliau berkata penulisan manifesto itu dilakukan oleh Pengarah Strategi Bersatu Rais Husin, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming (DAP), Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tsin (PKR) dan Dzulkifli Ahmad (Amanah).
Antara yang dijanjikan oleh PH ialah memperkenalkan mekanisme lebih telus bagi pembiayaan dana politik termasuk melalui pemberian dana awam kepada parti politik, menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal selain cadangan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Tujuh daripada 10 janji yang akan dikotakan dalam tempoh 100 hari pertama jadi kerajaan Persekutuan itu akan menambah pendapatan boleh guna dan simpanan, termasuk dengan menghapuskan sebahagian hutang peneroka Felda dan peminjam dana pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Janji-janji PH itu berpaksi pada 5 dasar teras iaitu mengurangkan kos sara hidup rakyat, reformasi institusi dan dasar, memacu ekonomi kukuh, mengembalikan hak Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 dan mewujudkan Malaysia yang inklusif dan moderat. – 8 Mac, 2018.
Komen