KIRA-KIRA 8,500 pemilik rumah di Putrajaya akan menerima diskaun 30% bagi cukai taksiran kediaman bermula tahun depan kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata diskaun itu adalah sebahagian daripada langkah Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan beban rakyat, terutama mereka yang tergolong dalam kumpulan B40 dan M40.
Beliau berkata unit terbabit adalah unit yang dibina sejak 2017 hingga sekarang dan bernilai di bawah RM300,000.
Pengumuman itu dibuat selepas Anwar bertemu dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk membincangkan masalah dihadapi golongan miskin bandar dan cara untuk mengatasinya.
“Saya turut mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara dasar dan usaha bagi mendepani permasalahan miskin bandar.
“Saya tegaskan bahawa tekad utama pentadbiran ketika ini adalah usaha membantu meringankan beban hidup rakyat,” kata ahli Parlimen Tambun itu dalam catatan Facebook hari ini.
Menurut Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), terdapat sekurang-kurangnya 6,100 isi rumah yang dianggap miskin dan 4,500 miskin tegar di Wilayah Persekutuan.
Isi rumah miskin ialah yang berpendapatan kurang RM2,208 sebulan manakala miskin tegar berpendapatan kurang RM1,169 sebulan.
Kuala Lumpur mendahului kedua-dua kategori dengan 4,051 isi rumah miskin dan 3,865 isi rumah miskin tegar, manakala Labuan mempunyai 1,605 rumah miskin dan 654 isu rumah miskin tegar.
Antara ahli Parlimen KL yang kelihatan pada majlis itu ialah Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak), Teresa Kok (Seputeh), Johari Abdul Ghani (Titiwangsa), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan P Prabakaran (Batu).
Serentak dengan itu, Anwar turut bertemu dengan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya mendengar beberapa taklimat serta penerangan terkait pengurusan dan hal ehwal DBKL.”
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata Kementerian Wilayah Persekutuan disusun semula dan kini menjadi jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Kenyataan Zuki dibuat selepas beliau menghadiri taklimat untuk Anwar.
Beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan yang baharu akan diterajui oleh Rosida Jaafar.
Anwar tidak menamakan menteri Wilayah Persekutuan ketika beliau melancarkan Kabinetnya pada 2 Disember lalu. – 22 Disember, 2022.
Komen