KIRA-kira 60% dari 1,000 rakyat Malaysia melalui tinjauan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) pada tahun lepas berkata tahap rasuah di negara ini kian meningkat.
Pengerusi TI-M, Akhbar Satar berkata tinjaun tersebut dijalankan dengan penduduk dari kawasan bandar dan luar bandar.
“Apabila kami menanyakan kepada mereka soalan ‘apa pendapat mereka mengenai rasuah’, jawapan yang kami terima ialah masih di tahap tinggi.
“Kami juga bertanya mengenai tahap rasuah dan skandal yang tidak dapat diselesaikan di dalam negara ini dan juga menerima jawapan yang sama,” katanya pada forum “Malaysia a corrupt country: Facts or Propaganda”, anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di Shah Alam hari ini.
Kata Akhbar lagi, punca utama rakyat Malaysia tidak melaporkan rasuah ialah kerana 15% takut kepada akibat yang bakal diterima.
“Kira-kira 12% berpendapat tiada apa yang boleh dilakukan, manakla 12% lagi tidak tahu cara untuk melaporkannya. 10% tidak tahu di mana rasuah harus dilaporkan.”
Akhbar berkata kebimbangan mereka itu adalah sekiranya tiada sebarang tindakan diambil untuk menangani masalah rasuah, maka kecurian dana awam tidak akan dikenakan hukuman dan kes tidak akan diselesaikan. – 8 Mac, 2018.
Komen