KERAJAAN perlu jelas berkenaan isu dibangkitkan berhubung ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata pakar ekonomi.
Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata memandangkan CPTPP dihidupkan semula dengan Jepun mengambil alih mengetuainya, isu berbangkit berkaitan pemerolehan, penyelesaian perbalahan pelabur dan isu lain perlu diperjelaskan.
“Tetapi ia tidak patut untuk menggagalkan perjanjian ini kerana ia satu proses panjang dan Malaysia bersedia untuknya sejak bertahun lalu.
“Antara cara untuk kerajaan baharu meneruskannya ialah dengan meneliti isu berkenaan dengan berhati-hati sebagai persediaan kepada bantahan awal yang dibangkitkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada 30 September lalu, Malaysia meratifikasi CPTPP, menjadi negara kesembilan daripada 11 negara untuk berbuat demikian. Penandatangan lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mohamed Azmin Ali pada 6 Oktober mengumumkan, empat hari sebelum Parlimen dibubarkan, yang CPTPP akan berkuatkuasa pada 29 November.
Free Malaysia Today melaporkan ada pihak mengkritik langkah itu berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang baru dilantik, perlu melihat semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu.
Antara pihak lain yang membantah pakatan itu ialah 143 kumpulan persatuan sivil, pakar ekonomi dan ahli Gabungan Kedaulatan Negara.
Mereka mendakwa ratifikasi itu dilakukan tanpa maklum balas lanjut daripada orang awam, dan analisis kos faedah menyertai CPTPP tidak dibahas di Parlimen.
Bagaimanapun, Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia, Persekutuan Pekilang Malaysia dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi tidak bersetuju jika kerajaan menarik diri daripada CPTPP. – 22 Disember, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen