PARTI Muda mahu memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata salah seorang pengasasnya Luqman Long.
Beliau yang juga ketua penerangan Muda berkata parti itu akan memastikan setiap dasar dan langkah yang diambil kerajaan perpaduan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kami menjadi parti yang kritis dalam kerajaan. Walaupun Muda tiada dalam Kabinet, malah tiada seorang pun daripada kami dilantik sebagai senator, namun itu tidak akan jadi halangan untuk memainkan peranan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Luqman perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat ‘post-mortem’ keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lepas.
PRU15 bulan lepas melakar sejarah baharu dalam landskap negara apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Situasi itu membawa kepada penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Atas titah Seri Paduka itu, Pakatan Harapan (PH), yang menang kerusi terbanyak, kemudiannya membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan ahli Parlimen Bebas.
Mengulas lanjut, Luqman berkata Muda mengotakan janji untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri ke-10 dan akan terus menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Terus berkhidmat walau kalah pada PRU15
Muda yang menjalin kerjasama pilihan raya dengan PH pada PRU15, bertanding di enam kerusi Parlimen – Muar, Tanjung Karang, Tanjung Piai, Kepala Batas, Masjid Tanah dan Kota Marudu – tetapi hanya berjaya menpertahankan Muar yang ditandingi presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Parti yang membuat penampilan sulung dalam pilihan raya umum itu menempuh cabaran sukar di kawasan yang ditandingi apabila menentang lawan yang merupakan calon ‘heavyweight’.
Syed Saddiq bersaing dalam pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Muar, dicabar bekas Adun Puteri Wangsa Abdullah Husin dari PN dan calon BN Mohd Helmy Abd Latif.
Di Tanjung Piai, pengasas bersama Muda Lim Wei Jiet menentang bekas timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi Wee Jeck Seng (MCA/BN) dam Najwah Halimah (PN).
Di kerusi Parlimen Masjid Tanah pula, Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman dicabar bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin, Abdul Hakim Abdul Wahid (BN) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).
Sementara di Tajung Karang, Siti Rohayu menentang calon BN Habibah Mohd Yusof, Azlan Sani Zawawi (Pejuang), Mohd Rosni Mastol (Bebas) dan Zulkafperi Hanafi (PN).
Manakala di Kota Marudu, calon tunggal Muda di Sabah, Sharizal Denci bersaing dengan Maximus Ongkili (GRS), Mohd Azmi Zulkiflee (Pejuang), Norman Tulang (Bebas), Jilid @ Zainuddin Kuminding (Warisan) dan Wetrom Bahanda (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat).
Di Kepala Batas pula, Danial Abdul Majeed menentang bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Reezal Merican Naina Merican dan Siti Mastura Mohamad (PN).
Meski Muda tewas di lima kerusi yang ditandingi, Luqman berkata parti itu akan terus berkhidmat di kawasan terbabit sebagai persedian menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Tambah beliau, ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang Muda, selain tidak mahu mengecewakan pengundi yang menyokong parti itu pada PRU15. – 22 Disember, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen