Muda mahu jadi komponen Pakatan, gesa Anwar sahkan sebelum PRN


Ravin Palanisamy

Sebelum PRU15, Muda menyatakan hasrat menjadi komponen PH namun pengerusi PH berkata Muda perlu kelulusan RoS untuk menyertai gabungan itu sebagai komponen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2022.

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengulangi hasrat untuk menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Ketua Penerangannya Luqman Long berkata PH perlu meneliti semula permohonan mereka memandangkan pilihan raya sudah pun selesai dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kami nyatakan hasrat kami untuk jadi sebahagian daripada PH sebelum Parlimen dibubarkan pun.

“Ketika kami umumkan hasrat itu, reaksi yang kami terima ialah ada isu teknikal dan perundangan yang menghalang Muda jadi sebahagian komponen PH.

“Pada saya itu kenyataan yang adil dan memandangkan ketika itu adalah tempoh yang sangat kritikal dan ada isu perundangan yang terlibat tapi kami berhasrat untuk lihat kembali idea Muda sertai PH itu, susulan sekarang bukan lagi tempoh yang sensitif,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum PRU15, Muda sudah menyatakan hasrat untuk menjadi komponen PH namun Anwar yang juga Pengerusi PH menyatakan Muda memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menyertai gabungan itu sebagai komponen.

PH dan Muda kemudiannya mencapai kata putus untuk menjadi rakan kerjasama pilihan raya bagi menghadapi PRU15.

Pada PRU15 lalu, Muda menang satu daripada enam kerusi ditandingi dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan kerusi Muar.

Lima kerusi lain yang tewas adalah Tanjung Karang, Tanjung Piai, Kota Marudu, Masjid Tanah dan  Kepala Batas.

Menurut Luqman setakat ini masih belum ada rundingan rasmi berkait penyertaan Muda sebagai komponen PH.

Katanya, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat pascanilai PRU15 minggu lalu.

Ketua Penerangan Muda Luqman Long berkata PH perlu teliti semula permohonan mereka kerana PRU15 sudah berlalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2022.

Namun katanya susulan enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, rundingan itu perlu dimulakan segera.

Luqman berharap kata putus dapat dicapai sebelum PRN itu berlangsung.

“Saya rasa ada sekurang-kurangnya beberapa bulan lagi (sebelum PRN).

“Izinkan Muda jadi sebahagian gabungan sebelum PRN berlangsung.

“Jadi PH dan Muda perlu duduk bincang sama-sama, lihat kembali idea itu. Daripada bergerak sebagai rakan kerjasama pilihan raya, lebih baik Muda menjadi sebahagian PH dan bekerjasama sebagai satu gabungan,” katanya.

Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Penang, Kedah, Kelantan dan Terengganu memilih untuk tidak menjalankan pilihan raya ketika PRU15 susulan langkah berjaga-jaga dengan musim tengkujuh.

Hanya tiga negeri – Pahang, Perak dan Perlis mengadakan pilihan raya sementara Sabah, Melaka, Johor serta Sarawak sudah mengadakan pilihan raya sebelum PRU15 berlangsung. – 22 Disember, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen