Hanya Dungun meningkat, mangsa banjir kurang sedikit seluruh Terengganu


Diyana Ibrahim

Jumlah mangsa di Terengganu berkurangan dari lebih 40,400 orang semalam kepada lebih 38,500 orang pada hari ini di 277 PPS di seluruh negeri. – Gambar Facebook, 21 Disember, 2022.

JUMLAH mangsa banjir berkurangan di seluruh Terengganu kecuali di Dungun yang semakin ramai dengan lebih 5,100 orang di 39 pusat pemindahan pada waktu ini.

Daerah Kemaman kekal mencatatkan jumlah mangsa paling terbanyak iaitu kira-kira seramai 9,000 orang yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa di negeri itu bagaimanapun berkurangan dari lebih 40,400 orang semalam kepada lebih 38,500 orang pada hari ini di 277 PPS di seluruh Terengganu.

Banjir tersebut disifatkan paling buruk melanda negeri itu dalam tempoh 36 tahun dan menyebabkan pelbagai kemusnahan, terutama di Besut.

Pekan Jerteh di daerah itu lumpuh sepenuhnya apabila kesemua laluan di kawasan tersebut ditenggelami air dengan lebih 6,000 mangsa dipindahkan ke 73 PPS.

Ia juga telah mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam kejadian yang berlaku di Besut, tiga hari lepas.

Sebanyak sembilan rumah mengalami rosak teruk termasuk lima dihanyutkan arus deras di Hulu Besut.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Khamis, selari dengan jangkaan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jurucakap APM Terengganu Azwan Abdullah menjangka berdepan cabaran untuk melakukan usaha menyelamat sekiranya keadaan itu berterusan.

Biarpun mempunyai bilangan anggota yang ramai, mereka kekurangan aset untuk melakukan tindakan.

“Disebabkan banjir kali ini berlaku di semua daerah Terengganu serentak, kita cuma ada 20 biji lori yang tidak mampu untuk tampung jumlah 40,000 mangsa.

“Dan 20 lori ini sahaja yang boleh meredah air dalam, dan untuk guna bot dengan arus deras pun juga bahaya,” katanya.

Kekakangan tersebut menyebabkan kerajaan negeri menerima kritikan kerana lambat melakukan usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan sejak gelombang kedua banjir melanda tiga hari lalu.

Exco Terengganu Hanafiah Mat tampil menepis kritikan itu dengan menjelaskan keadaan banjir luar biasa kerana banjir melanda banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air.

Tidak cukup dengan itu, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar turut menerima kecaman kerana bercuti di luar negara bersama keluarganya ketika banjir buruk melanda negeri itu.

Setiap tahun negeri pantai timur akan berdepan dengan musim Monsun Timur Laut yang akan bermula pada penghujung November sehingga akhir Mac.

Kali terakhir negeri pantai timur itu dilanda musibah sebesar itu apabila semua daerah dinaiki air serentak pada 1981.

Kerajaan sudahpun mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia menggerakkan aset di negeri pantai timur yang dilanda banjir.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mengumumkan peruntukan khas RM50 juta untuk masing-masing untuk Terengganu dan Kelantan yang berdepan musibah sama.

Ia meliputi bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga yang dipindahkan ke PPS dan RM10,000 kepada keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir. – 21 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen