PUTRAJAYA patut mempercepatkan pelaksanaan Akta Kesaksamaan Jantina yang diumumkan pada November 2016, kata naib presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Meera Samanther.
“Kita perlukan Akta Kesaksamaan Jantina sebab wanita di sektor swasta sekarang ini tidak terlindung daripada diskriminasi jantina.
“Ramai secara senyap menderita, berhenti kerja, atau diminta berhenti. Akta Kesaksamaan Jantina akan mengubah perkara seperti ini.
“Akta itu bukan sahaja menghalang diskriminasi jantina, tetapi juga memastikan wanita yang pernah mengalami diskriminasi mendapat pengadilan tanpa melalui proses panjang yang memenatkan dan menelan belanja yang banyak,” kata Meera ketika pelancaran pertunjukan kisah diskriminasi wanita di Kuala Lumpur hari ini sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.
Pakar kimia Michelle Kathleen Tan berkongsi perasaannya apabila diminta letak jawatan kerana mengandung.
Beliau merupakan pembantu makmal di sebuah sekolah antarabangsa ketika itu.
“Saya beritahu sumber manusia (HR) penuh jujur yang saya mengandung. Saya tak fikir ketika itu ia bakal mengundang masalah. Kerja saya sebelum ini, saya mengembara, bawa banyak kotak-kotak, naik tangga ketika mengandung.
“Saya sedikit risau bila HR kata dia akan semak perkara ini. Saya sangat terkejut bila mereka minta saya letak jawatan atas faktor kesihatan,” kata Tan.
Apabila Tan menuntut surat perletakan jawatan selepas berunding dengan peguamnya, majikannya bersetuju untuk memberikan surat itu namun menolak untuk berunding dengannya.
Kes beliau masih tergantung di pejabat Hubungan Industri.
Berbanding Tan, ketua rantaian bekalan Sime Darby Property, Adi Wira Abdul Razak, yang juga merupakan panelis di forum itu berkata, syarikatnya telah merekrut pekerja wanita walaupun mengetahui ada pekerjanya mengandung.
“Kami tunggu beliau,” katanya.
Kaji selidik oleh WAO pada 2016 terhadap 222 wanita mendapati dua daripada lima wanita telah ditindas kerana mengandung. Ini termasuklah dinafikan hak untuk naik pangkat, diletakkan dalam tempoh percubaan yang panjang, diturun dan dibuang kerja.
Hampir tiga daripada wanita berkata mereka terpaksa melambatkan proses untuk mengandung kerana takut akan menyebabkan mereka hilang kerja atau tidak dinaikkan pangkat.
Seorang daripada lima wanita pula berkata, permohonan kerja mereka ditolak atau tawaran kerja ditarik balik selepas mandapat tahu mengenai yang mereka mengandung.
Bagaimanapun, hanya satu daripada lapan wanita yang hilang kerja atau kenaikan pangkat diperlambatkan kerana mengandung seperti Tan membuat aduan secara formal.
Meera berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menggesa Malaysia melaksanakan Akta Kesaksamaan Jantina pada 2016.
Pertunjukan seni “Invisible Women” bermula hari ini hingga 18 Mac, 10 pagi hingga 10 malam di White Box Theatre, Publika, Solaris Dutamas. – 8 Mac, 2018.
Komen