Anwar silap tuduh tempahan Mercedes S600, kata orang Muhyiddin


Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin menyanggah kenyataan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat mengenai kereta Mercedes-Benz S600. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim membuat kesilapan kerana menuduh kereta Mercedes-Benz S600 ditempah perdana menteri kelapan, dakwa bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin.

Marzuki Mohamad mendakwa Muhyiddin tidak meluluskan tempahan kereta tersebut dan sebaliknya meminta harganya dikaji dan dirunding semula.

“Sebagai perdana menteri pada masa itu, Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600.

“Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula.

“Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan. Saya kembalikan minit tersebut kepada pegawai dan ia terhenti setakat itu sahaja,” katanya.

Dalam kenyataannya di Facebook, Marzuki juga menjelaskan kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli kerajaan sehingga Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos 2021.

Tambahnya, Muhyiddin juga menggunakan kereta sendiri sejak menjadi pembangkang sehingga waktu ini.

“Beliau tidak menggunakan kereta rasmi kerajaan,” katanya yang menyanggah kenyataan dibuat Anwar di Dewan Rakyat semalam. 

Anwar semalam menyebut, tempahan kereta mewah itu dibuat Muhyiddin sewaktu menjadi perdana menteri kelapan.

Sewaktu mengumumkan pembatalan tempahan tersebut pada 28 November lalu, Anwar hanya menyebut tempahan dibuat seorang perdana menteri terdahulu tanya menyatakan nama.

Ia merupakan antara langkah penjimatan yang diumumkan beliau selepas menguasai Putrajaya, selain menolak gaji perdana menteri dan mengurangkan gaji anggota jemaah menterinya.

Anwar juga berikrar meningkatkan tatakelola pentadbiran bagi mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan. – 21 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen