Kerja menyelamat lambat kerana banjir luar biasa, kata exco Terengganu


Diyana Ibrahim

Pekan Jerteh di Besut antara kawasan yang lumpuh sama sekali apabila semua laluan di kawasan itu ditenggelami air. – Gambar Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 20 Disember, 2022.

KERJA menyelamat dan menyalurkan bantuan tertangguh di Terengganu kerana gelombang kedua banjir melanda dengan begitu luar biasa kali ini, kata exco hal ehwal bencana Hanafiah Mat.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, persediaan dibuat sejak gelombang pertama dua minggu lalu namun banjir kali ini menenggelamkan kawasan yang tidak pernah dinaiki air.

Adun Chukai itu menepis dakwaan dan keluhan yang timbul mengenai kelewatan agensi kerajaan bertindak menangani mangsa banjir yang kini berjumlah  lebih 37,000 orang di situ.(setakat jam 6 petang hari ini)

“Kita dah cuba terbaik. Setakat ini saya berpuas hati dengan (tindakan) agensi kerajaan.

“Cuma kalau berlaku kelewatan dan kekurangan dari segi bantuan, kelengkapan seperti khemah dan tilam itu kami mohon maaf kerana kebetulan satu negeri banjir.

“Ada kawasan yang air naik mendadak terlalu cepat jadi ada kelemahan sedikit,” katanya yang memuji tindakan Agensi Pertahanan Awam, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, NGO seperti Khidmat Malaysia Terengganu juga bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mangsa dan membawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau juga percaya dakwaan mengenai kelewatan bantuan tersebut yang banyak tersebar sejak beberapa hari lalu tidak melibatkan keseluruhan operasi.

“Kalau ada yang viral di media sosial, seorang dua meminta bantuan kita anggap ia kes terpencil kerana mungkin anggota pun ada kesukaran dan cabaran untuk masuk.

“Tapi setakat ini saya difahamkan semua berjalan lancar,” katanya

Jumlah mangsa naik mendadak ke angka lebih 37,000 orang yang dibawa ke 318 PPS di seluruh negeri tersebut setakat Selasa.

Antara kawasan paling teruk terjejas pekan Jerteh di Besut yang lumpuh sama sekali apabila semua laluan di kawasan itu ditenggelami air. Lebih 9,300 mangsa ditempatkan di 96 PPS di situ.

Turut terjejas, kawasan berdekatan pekan Permaisuri di Setiu yang menyebabkan laluan di situ terputus.

Kemaman mencatatkan mangsa banjir paling terbanyak membabitkan lebih 11,500 orang yang ditempatkan di 35 PPS dibuka.

Di Hulu Terengganu pula lebih 6,400 mangsa kini menghuni 58 PPS, selain kira-kira 2,000 orang di 11 PPS di ibu negerinya, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri guna peruntukan darurat

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata kerajaan menggunakan peruntukan dari tabung darurat bagi membeli barang keperluan selain tambahan dana bantuan diumumkan dari kerajaan pusat.

Kerajaan negeri juga mendapatkan persetujuan dari bomba untuk menghantar bantuan makanan melalui helikopter di kawasan yang terputus akses kerana dinaiki air.

Pada masa sama beliau juga menjelaskan wakil rakyat PAS turun membantu mangsa banjir sejak gelombang pertama banjir melanda.

“Semua wakil rakyat kita ada di lapangan saya sebagai timbalan pengerusi bencana negeri memang saya sendiri yang pantau wakil rakyat kita semua turun. Tidak ada yang terlepas dari membantu.

“Dakwaan yang timbul mungkin kerana mereka tidak nampak.

“Yalah, kalau mangsa begitu ramai dalam 10,000 orang tak akanlah semua ini boleh nampak wakil rakyat ini turun tapi saya boleh beri jaminan semua ADUN PAS turun di lapangan, membantu.”

Di Jabi dalam kawasan Setiu, ADUN kawasan itu Azman Ibrahim berkata banjir di Besut antara terbesar yang pernah melanda kawasan itu dalam tempoh 40 tahun.

Sebanyak 11 PPS dibuka di Jabi kali ini sedangkan pada tahun-tahun sebelumnya hanya tiga atau empat PPS akan beroperasi.

“Tahun lepas, kita tidak terkena banjir, tapi tahun ini sampai 11 PPS dibuka. Cuma sebenarnya kita sudah bersedia berdepan dengan senario luar jangka.

“Memang jentera kita tak kelam-kabut atau panik walau berhadapan dengan pertambahan PPS dan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun beliau menjangkakan keadaan di kawasannya akan beransur pulih memandangkan air mula surut di beberapa tempat.

“Kita jangka mungkin akan ada beberapa penutupan PPS sebab air nampak mula surut. Sekarang kita dalam persediaan dalam pasca banjir.

“Maksudnya membantu pembersihan rumah, tapi mujurlah tahun ini banjir bukan air selut atau berlumpur, jadi proses membersih itu mudah sikit,” katanya.

Mangsa banjir seperti Norhaliza Awang, 35 dari Kuala Terengganu Norhaliza juga tidak menjangka banjir begitu teruk kali ini.

Warga Kampung Teluk Pasu itu berkata, mereka pada awal tidak berniat untuk berpindah ke PPS tetapi berubah fikiran kerana bimbang keselamatan anak dan ibunya yang uzur.

“Sehingga jam 4 pagi air dah sampai di pinggang, saya dan suami memang risau kerana mak saya uzur dan ada anak ada masalah kesihatan, sakit jantung.

“Jadi kita ambil keputusan untuk mendayung sendiri perahu biarpun masa itu air sangat deras dan dalam keadaan hujan.

“Ketika itu kedalaman air ada dalam tiga meter, suami saya mendayung sampai di bahu jalan dan kita berjalan ke PPS. Saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.

Selain Terengganu, Kelantan juga teruk terjejas dengan banjir, selain sebahagian negeri Pahang dan Johor.

Jumlah mangsa di Kelantan kini lebih 17,300 di 106 PPS sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di empat negeri terbabit sehingga Khamis. – 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen