Semua murid dapat bantuan RM150 pada Januari, kata PM


Semua murid layak mendapat bantuan RM150 selepas sekolah dibuka semula pada Januari, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Anwar berkata demikian sewaktu membentangkan usul bagi memohon belanjawan tambahan RM107.7 bilion untuk perbelanjaan darurat kerajaan.

“Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada bulan Januari 2023,” katanya.

Katanya, langkah itu bagi mempersiapkan pelajar tersebut dengan kelengkapan sewajarnya untuk menangani isu generasi yang tercicir dari pelajaran ekoran pandemik Covid-19.

Menteri kewangan itu berkata, kerajaan turut memperuntukkan dana bagi Rancangan Makanan Tambahan dan pembelian buku teks.

Anwar selanjutnya mengumumkan, bayaran bagi Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan lebih awal pada Januari berbanding Mac pada tahun ini.

“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 ringgit untuk penerima bujang. 

“Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini,” katanya.

Jumlah RM107.7 bilion dipohon kerajaan bagi menampung kos perkhidmatan kerajaan, termasuk membayar gaji kakitangan, tanggungan utiliti, pendidikan dan kesihatan, katanya.

Penggal ketiga persekolahan sesi 2022/2023 akan bersambung semula pada 1 Januari. – 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen