Indeks persepsi rasuah negara teruk di zaman Najib


Noel Achariam

Prestasi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia lebih baik semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi berbanding Najib Razak, kata Pengerusi Transparency International-Malaysia (TI-M) Akhbar Satar – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Kamal, 8 Mac, 2018.

PRESTASI Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia lebih baik ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi berbanding Najib Razak, kata Transparency International-Malaysia (TI-M) hari ini.

Pengerusinya Akhbar Satar berkata CPI Malaysia mula merosot selepas skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terbongkar.

“CPI bermula pada 1994 dan ia menunjukkan prestasi yang baik di bawah pentadbiran perdana menteri terdahulu.

“Selepas kes 1MDB dan SRC International terbongkar, kedudukan indeks rasuah negara jatuh mendadak sejak 2014.

“Ia akan terus merosot sehinggalah isu berkenaan selesai,” kata Akhbar dalam forum bertajuk “Malaysia a corrupt country: Facts or Propaganda” yang dianjurkan Institut Darul Ehsan di Shah Alam hari ini.

Akhbar berkata Malaysia berada di tangga 55 daripada 176 negara pada 2016 dan merosot di tangga 62 daripada 180 negara pada 2017.

“Kita telah jatuh tujuh mata dan ia adalah ranking terburuk negara setakat ini. Kita kini setaraf Cuba.” 

CPI adalah indeks agregat global yang terdiri daripada persepsi rasuah dalam sektor awam.

Data ini dikumpul daripada 180 negara di mana sehingga 13 sumber data berbeza dikumpul daripada pakar dan ahli perniagaan.

Akhbar berkata jika kerajaan ingin mencatat prestasi CPI yang lebih baik, semua kes yang masih tertangguh seperti 1MDB, SRC, Felda harus segera disiasat dan diselesaikan.

“Ini bagi memastikan rakyat Malaysia percaya akan apa yang disiasat itu dilakukan tanpa rasa gentar dan pilih kasih.”

Mengulas lanjut, katanya lagi Dr Mahathir memperkenalkan akta SPRM semasa zaman pentadbirannya, dan disusuli dengan trasformasi agensi itu oleh Ahmad Badawi.

“Ketika zaman pentadbiran kedua-dua bekas perdana menteri itu, ranking CPI amat baik.

“Apabila Najib mengambil alih, ranking dari 2009 hinggalah 2013 merosot dengan teruk. Trend itu berlaku selepas skandal 1MDB terbongkar.

Akhbar berkata ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir ranking CPI negara berada di tangga 32 daripada 102 negara manakala pada zaman Ahmad Badawi di tangga 47 daripada 180 negara. – 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen