KERAJAAN Selangor hari ini membidas kata-kata Perdana Menteri Najib Razak yang negeri itu tidak diurus dengan baik.
Ketika membuat lawatan Ulu Yam semalam, Najib menyerang kerajaan Selangor atas kegagalan dasarnya yang melibatkan air, perumahan, cukai, sampah serta denggi dan pencemaran sungai.
Pengarah Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata Najib “dijangkiti” “kekeliruan dan kecelaruan” dalam Umno.
Menurut Yin, Najib silap berkenaan gangguan bekalan air sejak pagi Jumaat lalu.
“Memang jelas beliau keliru kerana tiada gangguan bekalan air pada masa itu. Adakah beliau sebenarnya maksudkan kawasannya sendiri, Pekan, di mana ada gangguan bekalan air bermula hari ini hingga pagi esok?”
Kata Yin, negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) juga mengalami gangguan bekalan air.
“Boleh dapatkan penjelasan dari pegawai-pegawai awak?”
Mengenai kritikan Najib terhadap harga rumah yang mahal di Selangor pula, Yin berkata perdana menteri itu tidak menyedari bahawa kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik di bawah program Rumah Selangorku untuk rumah berharga RM42,000 hingga RM250,000.
Jelasnya, 70% rumah yang dijual dibawah Rumah Selangorku berharga kurang daripada RM200,000. iaitu jauh lebih murah dari rumah di bawah PR1MA yang berharga antara RM100,000 hingga RM400,000.
“Sebagai Menteri Kewangan, apakah Najib lupa yang beliau telah mempengerusikan gelembung harga rumah besar-besaran di seluruh negara, yang mana beliau memberi respons dengan menekan peluang pinjaman untuk keluarga berpendapatan rendah dan menjadikan mereka lebih mengharapkan program seperti Rumah Selangorku serta skim ‘Smart Selangor First Home Buyers’ yang turut merangkumi deposit?”
Berkaitan kritikan terhadap kenaikan cukai hartanah Selangor pula, Yin berkata ia adalah komen yang amat mengejutkan dari “Bapa GST”.
“Adakah Najib tahu yang kuasa menaikkan cukai hartanah ditentukan oleh Penilai dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di bawah kerajaan Persekutuan?”
Kata Yin, jika Najib mahu mengurangkan beban cukai Selangor, apa yang perlu beliau perlu lakukan ialah memansuhkan GST dan mengarahkan JPPH menurunkan kadar cukai. – 8 Mac, 2018.
Komen