KEKECOHAN tercetus di Dewan Rakyat berhubung pembentangan usul percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan keperluannya selepas Agong titahkan.
Semasa membacakan usul percaya kepada Anwar, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan perpaduan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini mendapat respons daripada Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang berkata titah Baginda tidak boleh digunakan untuk mempengaruhi mesyuarat Parlimen.
“Sekiranya Yang di-Pertuan Agong memberikan titah untuk mengesahkan kerajaan (perpaduan) ini, maka apa perlunya ada usul percaya,” soal Shahidan.
Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzah daripada Pakatan Harapan menjawab Shahidan dengan berkata, “ini kerana perdana menteri sekarang (Anwar) mempunyai keberanian tidak seperti perdana menteri ke-8,” katanya merujuk kepada Muhyiddin Yassin.
“Kami mempunyai perdana menteri (Anwar) yang berani tetapi perdana menteri sebelum ini (Muhyiddin) tidak dan itulah sebabnya beliau mengisytiharkan darurat,” kata Sany, yang menghadiri mesyuarat berkerusi kerusi roda selepas menjalani pembedahan.
Jawapan Sany mencetuskan lagi perang mulut antara beliau dan blok pembangkang.
Shahidan memanaskan keadaan apabila beliau didengar menyebut perkataan “bodoh”.
Sany mendesak Shahidan menarik balik kenyataannya, yang mana Shahidan secara menyindir keadaan kesihatan ahli Parlimen Hulu Langat itu.
“Inilah yang berlaku apabila seseorang tidak mengambil ubat mereka,” katanya.
Sany memberitahu Shahidan supaya berhati-hati dengan kata-katanya dan tidak mempersendakan keadaan kesihatan seseorang.
Speaker Johari Abdul campur tangan dan menyuruh bertenang kerana perbahasan perlu diteruskan dan terdapat 12 ahli Parlimen yang dijadualkan membahaskan usul percaya itu.
Ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin dibenarkan membahaskan pandangannya mengenai usul percaya itu. – 19 Disember, 2022.
Komen