AHLI Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau dipilih sebagai timbalan speaker parlimen hari ini.
Ramli dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 148 undi manakala Alice dari DAP memperoleh 146 undi.
Sebanyak tiga nama dicalonkan untuk jawatan timbalan speaker dengan Takiyuddin Hassan mencalonkan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin untuk jawatan itu.
Speaker Johari Abdul berkata memandangkan terdapat tiga nama beliau mengarahkan undian diadakan untuk memilih timbalan speaker.
Mas Ermieyati yang merupakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) memperoleh 74 undi.
Kedua-dua timbalan speaker berkenaan mewakili kerajaan.
Awal hari ini bekas ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat dalam urusan pertama persidangan Parlimen ke-15 pagi ini.
Johari memperoleh 147 undi manakala bekas Menteri Dalam Negeri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.
Jumlah itu menunjukkan 147 ahli Parlimen kerajaan perpaduan mengundi Johari. – 19 Disember, 2022.
Komen