Saya tidak akan minta maaf kerana bawa masuk pelabur, kata Najib 


Muzliza Mustafa

Perdana Menteri Najib Razak (kiri) bersama Pengerusi China Construction Bank, Wang Hong Zhang semasa merasmikan pembukaan cawangannya yang pertama di Malaysia, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Jun, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak tetap yakin dan mempertahankan dasar “buka pintu” beliau kepada pelabur asing termasuk China akan membantu meningkatkan ekonomi Malaysia.

Ketika mengalu-alukan penubuhan cawangan pertama China Construction Bank di Malaysia pagi ini, Najib dalam ucapannya pembukaannya berkata ia tindakan bodoh untuk berpaling daripada pelaburan negara lain kerana ia demi kepentingan rakyat dan rakan niaga di luar negara.

“Sama ada dari Jepun atau China, India dan Arab Saudi, untuk berpaling daripada pelaburan ini kerana pemikiran yang sempit dan kurang cerdik – dan salah faham fundemental ekonomi – hanya membawa kesan tidak baik kepada negara,” katanya.

Beliau juga membidas ahli politik pembangkang termasuk pengkritik utamanya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menuduhnya menjejaskan kedaulatan negara dengan menegaskan kerjasama dengan China akan mewujudkan hasil yang nyata dan transformatif, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

“Hubungan ini tidak berkompromi dengan kedaulatan negara, bertentangan dengan apa yang ahli politik pembangkang di sini katakan. Saya tidak akan menjual kedaulatan Malaysia. Tidak sekali-kali.”

Beliau juga memberitahu pengkritiknya yang berkempen menentang pelaburan asing adalah sama seperti menangguhkan pembangunan Malaysia.

“Kepada pengkritik yang mengatakan ‘terlalu banyak, terlalu cepat, terlalu awal’, saya katakan: ‘Jika anda ingin menangguhkan pembangunan Malaysia, jika anda mahu Malaysia ketinggalan, dan jika anda tidak mahu peluang pekerjaan diwujudkan atau tahap pendapatan meningkat, teruskan berkempen menggunakan platform itu.

“Saya tidak akan meminta maaf kerana memudahkan pelaburan di Malaysia. Ini adalah usaha untuk kepentingan semua, rakyat di Malaysia dan untuk rakan kami dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pembukaan China Construction Bank, bank perdagangan asing pertama yang diberikan lesen perbankan untuk beroperasi di Malaysia sejak enam tahun lalu.

Pembukaan China Construction Bank bertepatan pada masanya dengan kenaikan bilangan projek mega China-Malaysia baru-baru ini.

Antaranya ialah projek mega Bandar Malaysia, Forest City di Johor, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan projek pelabuhan dibiayai China di seluruh negara.

Dr Mahathir mengkritik pelaburan ini, menyamakannya dengan “menjual tanah kepada orang asing”.

Dr Mahathir berkata beliau bukan “anti-Cina” ataupun terhadap pelaburan langsung asing tetapi mendakwa projek seperti City Forest mungkin membawa kepada pemilikan asing ke atas tanah dan kemasukan pembeli hartanah dari China yang boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia dalam jangka masa panjang.

“Rakyat China dialu-alukan melabur dalam industri di Malaysia. Tetapi sama seperti kita tidak mengalu-alukan kedatangan imigran secara besar-besaran dari India atau Pakistan atau Eropah atau Afrika ke Malaysia, kita perlu mengambil pendirian yang sama ke atas imigran China ke Malaysia,” kata beliau dalam blognya. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen