Putrajaya perlu teliti semula pembangunan di lereng bukit, kata NGO alam sekitar


Noel Achariam

Keadaan kawasan lereng bukit yang runtuh dalam kejadian awal pagi Jumaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2022.

KERAJAAN perlu meneliti semula undang-undang berkaitan pembangunan di kawasan lereng bukit susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali dan impak perubahan iklim negara.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Damien Thanam Divean berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan badan yang berkelayakan seperti universiti untuk menjalankan kajian yang komprehensif berhubung peraturan pembangunan di kawasan bukit, seluruh negara.

Katanya buat masa ini kerajaan perlu menggantung sebarang pembangunan di lereng bukit sehingga diketahui kapasiti muka bumi semula jadi dan langkah yang perlu diambil.

“Kerajaan kini tak tahu di mana lokasi yang berisiko berlaku tanah runtuh di seluruh negara.

“Kajian yang terperinci (terhadap kawasan berisiko) perlu diserahkan kepada badan yang layak seperti universiti,” katanya kepada The Malaysian Insight sambil menambah keputusan kajian perlu didedahkan kepada umum supaya ia boleh diteliti oleh golongan profesional.

Menurut Damien teras utama kajian itu untuk mengetahui kesan perubahan iklim dan cuaca ekstrem di cerun bukit.

“Sama ada cerun itu diselenggara oleh kita atau ada tumbuhan-tumbuhan semula jadi.

“Sebab perubahan iklim ini kita tidak tahu sifatnya atau kapasiti pegangan ekologi di cerun, gunung dan bukit,” katanya.

Kajian menyeluruh perlu diserahkan kepada pihak yang berkelayakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2022.

Beliau turut berkata pihak berkuasa perlu memeriksa kawasan rekreasi yang wujud sebagai perniagaan yang boleh membahayakan pelawat dan pelancong.

“Kami berterima kasih atas larangan menyeluruh terhadap aktiviti perkhemahan di kawasan hutan.

“Pihak berkuasa perlu tutup aktiviti rekreasi yang hampir dengan kawasan berisiko tinggi seperti tapak perkhemahan dan pendakian, pergunungan, ATV dan trek-trek lain,” katanya.

Dalam insiden sekitar 2.42 pagi pada Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Jalan Genting-Batang Kali yang mengakibatkan 24 mangsa terkorban dan 9 lagi masih hilang.

Setakat ini, 54 mangsa ditemui selamat dengan tujuh cedera dan sedang dirawat di hospital.

Jumlah mangsa yang berada di tapak perkhemahan itu berdasarkan rekod pengendali kem adalah 94 orang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata peluang menemui mangsa terselamat dalam tragedi tanah runtuh itu semakin tipis.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tanah runtuh itu berlaku kerana kegagalan cerun tambakan.

Menurutnya, berdasarkan data diterima terdapat kegagalan cerun tambakan sepanjang 500 meter, seluas 200 meter dengan kedalaman 8 meter.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar semua tapak perkhemahan berhampiran cerun bukit atau tepi sungai dikosongkan sementara susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. – 18 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen