Mesyuarat Jawatankuasa PN esok bincang pendirian usul undi percaya, kata Muhyiddin


Muhyiddin yakin sebahagian besar Ahli Parlimen PN tidak akan menyokong usul itu namun katanya tiada paksaan. – Gambar Facebook Muhyiddin Yassin, 17 Disember, 2022.

MESYUARAT Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) esok akan membincangkan pendirian gabungan parti itu mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata walaupun beliau yakin sebahagian besar Ahli Parlimen PN tidak akan menyokong usul berkenaan namun keputusan sama ada menyokong atau sebaliknya tidak boleh dipaksa.

“Saya sudah dapatkan pandangan daripada peguam, apa yang disebutkan sebagai MoU (memorandum persefahaman) yang kalau ahli Parlimen tidak sokong usul tersebut, (adakah) kedudukan (mereka sebagai ahli Parlimen) akan terhenti atau dikosongkan?

“Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu boleh dilaksanakan, kecuali lompat parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh di Muar hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata tindakan yang boleh diambil terhadap Ahli Parlimen PN yang menyokong usul berkenaan adalah tindakan disiplin oleh parti dan bukannya diberhentikan atau mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan PN terhadap ahli Parlimen gabungan itu yang menyokong usul undi percaya kepada perdana menteri.

Pada 11 Disember lepas, Anwar dilaporkan berkata usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen. – Bernama, 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen