Pakatan Selangor masih ‘sangkut’ 6 kerusi


Amin Iskandar

Keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan Selangor, PKR, DAP, Amanah dan Bersatu menuntut kerusi DUN Seri Serdang dan Lembah Jaya kerana dimenangi dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018. 

KETIKA pembahagian kerusi selesai di negeri lain, Pakatan Harapan (PH) Selangor masih lagi “tersangkut” di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, enam kerusi tersebut ialah Sri Serdang, Lembah Jaya, Sungai Panjang, Sungai Burong, Kota Damansara dan Bukit Melawati.

“Berlaku pertindihan antara parti di kerusi-kerusi ini, kami menemui jalan buntu.

“Dan minggu depan pada Selasa, pengerusi-pengerusi parti komponen PH di Selangor akan berunding buat kali terakhir sebelum perkara itu dibawa ke peringkat pusat,” kata sumber yang mengetahui mengenai perkara itu dengan syarat tidak dinamakan.

Seorang lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight, keempat-empat parti PH Selangor PKR, DAP, Amanah dan Bersatu menuntut kerusi DUN Seri Serdang dan Lembah Jaya kerana dimenangi dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Semua parti nak dua kerusi ini kerana ia boleh dikatakan sebagai kerusi ‘gred A’.

“Tarikh akhir untuk rundingan kerusi Selangor ialah 13 Mac. Jika tidak dapat diselesaikan, jawatankuasa rundingan kerusi PH akan ambil alih dan buat keputusan,” katanya yang tidak mahu dinamakan.

Desas desus mengatakan yang PKR ingin berunding dengan PAS memandangkan dua daripada kerusi dimaksudkan dimenangi oleh parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kerusi DUN Seri Serdang dimenangi Noor Hanim Ismail daripada PAS dengan majoriti 16,251 undi. DUN Lembah Jaya dimenangi Khasim Abdul Aziz daripada PAS dengan majoriti 8,713 undi.

DUN Sungai Panjang dimenangi Budiman Mohd Zohdi daripada Umno dengan majoriti 2,193 undi. DUN Sungai Burong pula dimenangi Samsudin Lias daripada Umno dengan majoriti 3,013 undi.

Bagi kerusi DUN Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan daripada Umno berjaya menang dengan majoriti 1,527 undi selepas PKR dan PAS turut berlawan sesama sendiri.

DUN Bukit Melawati dimenangi Jakiran Jacomah dengan majoriti 806 undi.

Pada PRU13 lalu bersama gabungan Pakatan Rakyat (PR), daripada 56 kerusi DUN Selangor, PKR menang 14 daripada 21 kerusi yang ditandinginya.

Manakala PAS memenangi 15 daripada 20 kerusi yang ditandinginya. DAP menang di semua 15 kerusi DUN yang ditandingi.

Barisan Nasional (BN) memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN ditandingi mereka.

Bilangan kerusi PKR dan DAP berkurang satu kerusi apabila Abdul Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng dipecat dan menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas.

PAS pula hanya tinggal 13 kerusi selepas dua Adun menyertai Amanah.

PR berpecah pada 2015 apabila berlakunya perbalahan antara PAS dan DAP dalam isu hudud. Selepas perpecahan itu, PKR, DAP dan Amanah menubuhkan PH.

Bersatu yang ditubuhkan pada 2016 menyertai PH pada 2017 dan Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi gabungan itu.

Pada 7 Januari lalu, Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri PH dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

PAS tidak menyertai PH tetapi sebaliknya menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan. – 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen