Anwar tolak gaji PM tiada kesan besar tapi bermakna, kata ahli ekonomi


Diyana Ibrahim

Anwar Ibrahim menolak gaji perdana menteri, mengecilkan saiz kabinet serta mengurangkan gaji para jemaah menterinya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2022.

TINDAKAN Anwar Ibrahim menolak gaji perdana menteri, mengecilkan saiz kabinet serta mengurangkan gaji para jemaah menterinya disambut dengan pandangan berbeza ahli ekonomi.

Kalangan pengkaji ini sependapat bahawa usaha tersebut tidak memberi implikasi besar kepada ekonomi, namun berbeza pandangan ke atas kesan tidak langsung dari tindakan itu.

Ada yang menanggapnya sebagai usaha besar bagi meraih keyakinan rakyat ke atas usaha melaksana perbelanjaan berhemat bagi menjamin kestabilan fiskal dalam urusan pentadbiran.

Namun ia juga ditolak sebagai pendekatan berbentuk populis semata-mata, seperti disebut pengkaji ekonomi Universiti Utara Malaysia Irwan Shah Zainal Abidin.

“Kalau betul nak selesai masalah, langkah kurangkan saiz kabinet sebenarnya tak bagi kesan apa pun,” katanya yang mengetuai Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik kampus itu.

Beliau berpendapat, Anwar juga tahu langkah itu hanya tindakan populis kerana perdana menteri sendiri maklum bahawa kadar hutang negara yang mencecah RM1 trilion sudah dijangka.

“Kerana ini bukan tahun 2018 dan kita tengok nisbah dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) masih lagi sekitar 60% iaitu masih lagi di bawah siling yang ditetapkan,” katanya.

Angka RM1 trilion itu dipetik Anwar sewaktu mengumumkan langkah penjimatan yang akan dilakukannya sebaik mengambil alih jawatan perdana menteri bulan lalu.

Selain menolak gaji dan mengecilkan kabinet, beliau turut meneliti semula projek besar diluluskan kerajaan terdahulu dan membatalkan projek seperti tebatan banjir bernilai RM7 bilion.

Mengulas lanjut, Irwan Shah berkata Anwar sepatutnya perlu membangunkan dasar ekonomi bagi meningkatkan pelaburan, pegangan dan produktiviti negara.

Dasar tersebut perlu menarik pelabur asing yang lebih terpilih atau melaksanakan pembaharuan cukai dan memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang tidak menguntungkan, katanya.

“Maksud saya tak boleh lagi macam tahun 1990-an. Memanglah masa itu pelaburan tinggi, tapi pelaburan yang macam mana,” katanya.

Negara sebaliknya memerlukan pelaburan bermutu dan mapan yang boleh memberi nilai tambah dan memberi peluang pekerjaan dan pendapatan tinggi kepada mahasiswa waktu ini, katanya.

Jelasnya, tindakan itu akan memberi pulangan jangka masa panjang kepada negara.

“Sebab itu saya kata saya tidak begitu menyokong (usaha mengecilkan Kabinet) sebab dari sudut ekonominya tidak perlu, ia tidak beri implikasi dari sudut hutang negara pun.

“Perkara pokoknya perlu memberi tumpuan bagaimana nak tingkatkan hasil negara sahaja, ” katanya.

Pakar ekonomi seperti Yeah Kim Leang juga mengakui pengecilan saiz kabinet tidak membawa kesan besar kerana tidak memberi penjimatan signifikan kepada negara.

Bagaimanapun, usaha itu memberi makna besar kepada rakyat yang akan melihat kerajaan baharu ini akan menerapkan nilai ketelusan dalam pentadbiran dan perbelanjaan negara, katanya.

“Bagi saya ini selari dengan komitmen beliau untuk pastikan tadbir urus yang baik dan tidak ada ketirisan. Saya melihat ia nada yang ditetapkan Anwar untuk diikuti semua kementeriannya.

“Anwar memberi nada yang tepat untuk memastikan kerajaan melaksanakan perbelanjaan lebih cermat dan telus paling penting memastikan kestabilan fiskal dalam urusan pentadbiran,” katanya.

Profesor ekonomi Unversiti Sunway itu menjelaskan, kestabilan fiskal bermaksud untuk menguruskan wang negara atau wang rakyat dengan telus.

“Ini sangat diperlukan untuk kerajaan memberi tumpuan memaksimumkan perbelanjaan negara lebih efektif, menangani peningkatan kos sara hidup dan menjana peluang pekerjaan.

“Paling penting ia juga boleh dilihat sebagai cara Anwar untuk memaksimumkan sokongan rakyat terutama dari kumpulan isi rumah dan peniaga dan usahawan,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, Yeah berpendapat Anwar perlu memastikan kestabilan kerajaan dari segi politik terlebih dahulu sebelum menetapkan hala tuju agenda ekonomi negara.

Langkah ini termasuk dasar bagi menarik atau menambah keyakinan pelabur asing dan menyokong sektor yang betul untuk menjana pekerjaan dan pertumbuhan negara dalam bidang utama.

“Ini termasuk sokongan dari sektor swasta secara menyeluruh melibatkan semua industri, dan memberi fokus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya. – 17 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen