Tetapkan garis panduan untuk aktiviti perkhemahan, kata pengusaha


Noel Achariam

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, dekat Genting Highlands mencecah 21 mangsa setakat malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Disember, 2022.

PERLU ada garis panduan yang betul untuk perjalanan perkhemahan bagi meminimumkan sebarang risiko semasa aktiviti rekreasi ini, kata Azizan Yunus.

Pemilik Asia Camp Sdn Bhd itu berkata pihak berkuasa harus meletakkan peraturan piawaian yang betul mengenai aktiviti perkhemahan.

Azizan berkata pihak berkuasa perlu segera memanggil pihak berkepentingan dalam industri untuk mengemukakan garis panduan bagi pengusaha tapak khemah, serta mewujudkan persekitaran perkhemahan yang lebih selamat.

Beliau berkata garis panduan itu berguna untuk pengusaha kem, perkhemahan dan pihak berkuasa.

“Terdapat risiko apabila kita menjalankan aktiviti luar kerana kadangkala ia tidak dapat dielakkan.

“Kita boleh meminimumkan risiko dengan mengikuti garis panduan. Kami berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan kami pengendali bagi mengeluarkan garis panduan khusus untuk perkhemahan,” katanya.

Angka kematian selepas tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, dekat Genting Highlands mencecah 21 mangsa malam tadi.

Menurut pihak berkuasa, 12 orang masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tanah runtuh itu berpunca daripada kegagalan cerun.

Beliau berkata dimensi tanah runtuh di kawasan berkenaan melibatkan kawasan sepanjang 500 meter, 200 meter lebar dan sedalam lapan meter.

“Runtuhan tanah melibatkan sebanyak 450,000 meter padu tanah,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Nik Nazmi turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila pergi ke kawasan berisiko pada musim hujan.

Sementara itu Azizan berkata, syarikatnya sudah mempunyai garis panduan tertentu memandangkan mereka telah berada dalam perniagaan itu selama 12 tahun.

Katanya, antara beberapa garis panduan pengusaha tapak khemah bagi tujuan keselamatan ialah:

  1. Mewujudkan borang sistem pengurusan penilaian risiko pada awal setiap tahun untuk mengukur bahaya yang mungkin berlaku.
  2. Pengusaha di tapak perkhemahan hendaklah mempunyai sijil kelayakan untuk menjalankan aktiviti.
  3. Wujudkan peta laluan keselamatan dan tempat berkumpul pelawat apabila berlaku bencana.
  4. Mempunyai kakitangan yang cekap untuk mengendalikan pertolongan kecemasan sebelum bantuan profesional tiba.
  5. Wujudkan borang pemeriksaan kesihatan dan sejarah perubatan untuk setiap peserta.
  6. Wujudkan borang maklum balas peserta untuk mengawal risiko (risiko berulang kecil seperti kerosakan infrastruktur).
  7. Dapatkan khidmat nasihat pakar berkaitan cerun bagi pemilik tapak khemah yang terletak di kaki bukit atau tempat tinggi.

Azizan berkata, mengikut pangkalan data mereka terdapat kira-kira 300 tapak perkhemahan di negara ini, manakala syarikatnya kini mempunyai 30 pengusaha di pelbagai tapak perkhemahan.

Beliau juga berkata aktiviti perkhemahan tidak digalakkan pada musim tengkujuh.

“Ada risiko jadi kita kena uruskan. Kalau ada aktiviti luar, kita juga ada tempat untuk berkumpul sekiranya berlaku sebarang kejadian.

“Mesti ada kursus pengurusan risiko untuk pengendali.”

Dalam pada itu Pensyarah Pengurusan Rekreasi Universiti Utara Malaysia Mohamed Khairi Alwi berkata tidak digalakkan melakukan aktiviti pada musim tengkujuh kerana cuaca tidak menentu.

Beliau berkata hujan adalah ancaman utama, dengan angin kencang manakala faktor lain mungkin bentuk muka bumi hutan dan dahan pokok tumbang.

“Melihat kejadian hari ini, ciri geografi sebegini boleh menjadi rapuh semasa musim tengkujuh dengan hujan lebat kerana ia boleh melonggarkan kekuatan tanah.

“Saya bukan ahli geologi, tetapi ini adalah penjelasan asas. Ia tidak digalakkan untuk perkhemahan. Terdapat tapak perkhemahan lain dengan tanah rata.”

Beliau berkata sebagai contoh, Jabatan Perhutanan pun tidak membenarkan sebarang aktiviti mendaki atau berkhemah pada musim tengkujuh kecuali beberapa negeri.

Ini katanya bagi mengelak sebarang insiden berlaku.

“Jabatan perhutanan tidak membenarkan sebarang aktiviti pergunungan kecuali Pulau Pinang dan Perlis. Tiada aktiviti mendaki atau berkhemah di sekitar kawasan pergunungan.

“Tiada permit akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri.”

Tambahnya, kadangkala orang berkhemah di tanah persendirian sehingga sukar untuk menghalangnya.

“Perlu ada kesedaran tentang risiko aktiviti luar semasa musim tengkujuh.”

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata Suruhanjaya Siasatan perlu dijalankan untuk mendapatkan punca punca dan langkah pencegahan dan pembaikan.

“Pihak yang bertanggungjawab atas kematian mangsa tragedi Batang Kali mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Punca tragedi itu mesti disiasat dan didedahkan secara terbuka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana tapak perkhemahan dibenarkan di kawasan berbukit, manakala gambar menunjukkan kegagalan cerun besar telah berlaku di bawah lebuh raya berhampiran di bahagian atas tapak.

“Apakah yang mencetuskan perkara itu berlaku? Perlu ada moratorium di semua pembangunan cerun bukit selanjutnya sehingga terdapat semakan menyeluruh tentang betapa terdedah atau berdaya tahan kawasan ini terhadap peningkatan intensiti dan kekerapan hujan akibat perubahan iklim.”

Meenakshi menambah bahawa kerajaan mesti mempercepatkan Pelan Adaptasi Kebangsaan untuk memahami kawasan yang terdedah dan berisiko tinggi kepada kesan iklim dan mengambil langkah segera untuk membina daya tahan iklim. – 17 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen