GENAP 10 tahun Pakatan Harapan berkuasa di Pulau Pinang hari ini, kerajaan negeri itu memuji kejayaannya dalam pelaburan.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang merekodkan peningkatan 150% keseluruhannya dalam cadangan pelaburan modalnya tahun lalu pada RM10.8 bilion, berbanding RM4.29 bilion pada 2016.
Beliau berkata, walaupun ia merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, Pulau Pinang membuktikan kemampuannya dengan kejayaan itu dan menegaskan jumlah pertumbuhan pelaburan di peringkat nasional adalah pada kira-kira 6% - meningkat daripada RM58.49 bilion kepada RM63.58 bilion tahun lalu.
Lim turut menegaskan sebanyak RM8.5 bilion pelaburan dicapai oleh Pulau Pinang tahun lalu, yang merupakan paling tinggi di negara ini.
“Walaupun berdepan dengan ekonomi yang mencabar, kami mampu merekodkan pertumbuhan ekonomi lebih baik.
“Ini menunjukkan keyakinan pelabur asing di Pulau Pinang,” katanya kepada sidang media di Komtar hari ini.
Lim berkata pelabur turut memuji Pulau Pinang kerana kestabilan politiknya, tadbir urus yang baik dan kemampuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berbangkit.
“Pelabur berkata kami mempunayi pasukan yang kuat yang berkemampuan dan efisyen, dan sebab itu kita fokuskan kepada bakat.
“Pulau Pinang akan terus memngembangkan modal insan terutama dalam bidang sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan,” katanya.
Lim berkata, berikutan prestasi yang memberangsangkan tahun lalu, kerajaan negeri akan meneruskan pelaburan RM6 bilion tahun ini.
“Pada mulanya, kami mensasarkan RM4 bilion tetapi kami percaya kami boleh tetapkan sasaran yang lebih tinggi
Lim turut merujuk kepada kesinambungan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang bagi tempoh 10 tahun sebelum ini sejak pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri itu.
Jumlah keseluruhan pelaburan dari 1998 hingga 2007 adalah RM36.855 bilion. Ia mencatatkan pertumbuhan kepada RM70 bilion dari 2008 kepada 2017.
Peluang pekerjaan turut mencatatkan pertumbuhan daripada 132,422 (1998 hingga 2007) kepada 150,245 dari 2008 hingga September 2017.
“Saya ingin menekankan yang kita melihat kualiti pelaburan, bukan kuantiti.
“Pelaburan yang kita dapat adalah berteknologi tinggi dan intensif pengetahuan. Ia merupakan nilai tambah industri dan membabitkan Industri 4.0,” kata Lim.
Lim berkata tiada sebarang masalah mengenai kemudahan kilang, kerajaan negeri akan terus memastikan terdapat kemudahan mencukupi untuk sektor Perkhidmatan Perniagaan Global.
Ketua menteri yang juga pengerusi Penang Development Corporation dan agensi pelaburan Pulau Pinang investPenang, berkata angka pelaburan itu sendiri sudah membuktikannya.
Katanya, mereka yang mendakwa terdapat pernutupan kilang, pelabur enggan melabur dan pekerja diberhentikan di Pulau Pinang tidak bercakap benar.
“Lebih banyak kilang dibuka berbanding ditutup. Angka pelaburan sangat kukuh. Di lapangan kamu tidak akan dengar mengenai pemberhentian pekerja.
“Hanya isu kenaikan kos sara hidup sahaja yang tidak banyak dapat dilakukan oleh kerajaan negeri.
“Isu itu perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri, tetapi ia tidak berminat untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan. PH akan melakukannya sekiranya kami memenangi Putrajaya,” katanya. – 8 Mac, 2018.
Komen