Minat pengguna Facebook terhadap parti politik terus merosot, kata Politweet


Chan Kok Leong

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin tidak berapa lama lagi, tetapi kecenderungan perhatian terhadap parti politik di Facebook merosot antara Disember 2017 dan Februari 2018, kata Politweet.org.

Firma penyelidikan media sosial itu mendapati Barisan Nasional (BN) kehilangan jumlah pengguna sosial berusia bawah 21 tahun paling ramai, manakala parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) menyaksikan penurunan minat pengguna berusia 41 tahun dan ke atas.

Dalam kumpulan usia 13-20 tahun, BN mencatatkan penurunan sebanyak 14.81% berbanding pembangkang 11.11%.

Bagaimanapun, parti pembangkang kehilangan lebih ramai pengguna dalam kumpulan usia lain berbanding dengan BN.

Dalam kumpulan usia 21-30 tahun dan 31-40 tahun, penurunan BN hanya 9.09% dan 12.5%, berbanding pembangkang sebanyak 14.55% dan 14.12%.

Umur minimum untuk mengundi di Malaysia adalah 21 tahun.

Menurut Politweet, minat terhadap parti politik mula menurun pada Januari 2015 apabila minat terhadap semua parti menurun.

“PKR, yang mendahului DAP sejak 2016, kini jatuh ke tahap DAP,” kata Politweet.

PAS mengalami penurunan yang perlahan sejak Julai 2016 manakala minat terhadap Umno merudum pada Disember 2016.

Bilangan pengguna aktif Facebook terkini (di atas 21 tahun) bagi setiap parti adalah seperti berikut; Umno (3.3 juta pengguna), PKR (1.2 juta), DAP (1.2 juta), MCA (810,000), PAS (360, 000), Gerakan (250,000) dan MIC (160,000).

Media sosial dikatakan sebagai salah satu sebab bagi keputusan PRU 2008 apabila BN kehilangan majoriti serta empat lagi negeri kepada pembangkang. – 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "PAS mengalami penurunan yang perlahan sejak Julai 2016 manakala minat terhadap Umno merudum pada Disember 2016."

    Penurunan yang agak perlahan bagi pas membuktikan amanah gagal mengugat pas sama selali..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan