PUTRAJAYA akan menamatkan kontrak semua pengerusi dan lembaga pengarah yang dibuat melalui pelantikan politik kepada syarikat dan badan berkaitan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
Dalam surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight menyatakan bahawa Kabinet pada mesyuaratnya semalam memutuskan untuk menamatkan serta-merta kontrak pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang dibuat kepada badan berkanun Persekutuan, syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) , syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi utama.
Surat itu ditandatangani oleh Zuki.
The Malaysian Insight sudah menghubungi pejabat Ketua Setiausaha Negara untuk mendapatkan pengesahan tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) melalui penyelidikannya menunjukkan peningkatan bilangan lantikan politik dalam badan berkanun persekutuan di bawah pemerintahan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ia berkata terdapat 234 pelantikan sedemikian dibuat dari Ogos 2021 hingga September 2022. Daripada jumlah itu 119 adalah penyertaan baharu manakala 115 dikekalkan daripada pentadbiran terdahulu yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin.
Menurut Ideas, Umno mendominasi bilangan ahli politik yang dikekalkan dalam badan berkanun persekutuan dengan 52 lantikan manakala Bersatu mempunyai 28 lantikan dan PAS 11.
Ia berkata lebih separuh daripada pelantikan baharu adalah daripada Umno (61) diikuti Bersatu (19), Parti Bangsa Malaysia (15), PAS (tujuh) dan MCA (lima).
Daripada 133 badan berkanun persekutuan, 72 (54%) terlibat secara langsung dengan pelantikan dan melibatkan 22 daripada 27 kementerian (81%) di bawah tempoh pentadbiran Ismail.
Kementerian yang mempunyai lantikan politik paling banyak ialah pendidikan tinggi (10), pengangkutan, pembangunan luar bandar, dan industri pertanian dan makanan (masing-masing lapan) dan industri perladangan dan komoditi (tujuh).
Institut Koperasi Malaysia (IKM) menyaksikan bilangan pelantikan terbesar dalam lembaga pengarahnya dengan 10 ahli politik yang dikenali, kata IDEAS.
Badan pemikir itu juga mendapati 56 Badan Berkanun Persekutuan sangat terdedah kepada pengaruh politik kerana pengerusi mereka jelas bergabung dengan parti politik atau sama ada bekas Ahli Parlimen, Adun atau senator.
Sementara itu pada Selasa kerajaan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah.
Zuki berkata penamatan perkhidmatan Shafiq adalah selaras dengan peraturan 49(3) Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Tambahnya Shafiq, 58, bersara mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 yang membolehkannya menikmati faedah persaraan yang berhak. – 15 Disember, 2022.
Komen