Menyeru semangat 8 Mac menuju PRU14


Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR merupakan calon paling muda memenangi pilihan raya umum pada 2008 untuk parti PKR bagi kerusi DUN Seri Setia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.

GENAP sepuluh tahun lalu, pada 8 Mac 2008, saya jadi calon paling muda menang dalam pilihan raya umum yang bersejarah itu.

Sebelum 8 Mac 2008, Umno-Barisan Nasional menguasai 90 kerusi di Dewan Rakyat.

Sebelum 8 Mac 2008, satu-satunya negeri yang tidak diperintah oleh BN ialah Kelantan.

Sebelum 8 Mac 2008, Keadilan hanya ada sebuah kerusi – Permatang Pauh.

Sebelum 8 Mac 2008, hanya dua daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor dipegang oleh pembangkang – kedua-duanya daripada DAP.

Pada 8 Mac 2008, umur saya baru 26 tahun – dan baru dua tahun sebelumnya berkhidmat di pejabat Anwar Ibrahim.

Saya dibawa masuk untuk bertanding sebagai calon Keadilan di Seri Setia.

Saya keberatan pada mulanya tetapi parti mencari calon-calon yang baik. Bersama beberapa orang teman, saya memulakan projek tuisyen sukarela di Desa Mentari, rumah pangsa kos rendah yang terbesar di Seri Setia.

Lawan saya, penyandangnya, ialah seorang pemimpin kanan Wanita Umno yang juga exco negeri yang menang kerusi itu pada 2004 dengan majoriti hampir 13,000 undi.

Pada 8 Mac 2008, rakyat sudah jelak dengan kepimpinan yang lemah, jenayah yang meningkat dan politik perkauman.

Pada 8 Mac 2008, rakyat marah dan sedia untuk berubah.

Pada 8 Mac 2008, seperti yang kita tahu, kita menempa sejarah.

Pada 8 Mac 2008, saya menang Seri Setia dengan majoriti 2,863 undi.

Keadilan, DAP dan PAS kemudiannya membentuk apa yang muncul sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor.

PAS menguasai Kelantan sementara Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri di Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Pada 8 Mac 2008, BN dinafikan majoriti dua pertiga yang ia rasakan sebagai haknya.

Seterusnya pada 2013, rakyat Malaysia sekali lagi ke peti undi – banyak yang lebih bersemangat dan optimistik.

Pakatan Rakyat – diketuai Anwar – menang 51% undi popular tetapi Umno-Barisan Nasional kekal berkuasa berkat gerrymandering dan salah pembahagian kawasan pilihan raya yang menentukan bagaimana kerusi legislatif disempadankan.

Jalannya sejaknya beronak dan berliku. Anwar sekali lagi dipenjarakan dengan tidak adil. Kita kehilangan ikon seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Karpal Singh.

Ketua de facto PKR Anwar Ibrahim kini menjalani hukuman penjara 5 tahun atas sabitan kes liwat dan dijangka akan dibebaskan pada Jun depan. – Gambar EPA, 8 Mac, 2018.

Sukar, tetapi pilihan yang wajar terpaksa dibuat – seperti menggantikan Menteri Besar Selangor.

Apa yang tidak wajar ialah keputusan PAS untuk berpisah daripada Pakatan Rakyat.

Mujurlah ahli-ahlinya yang masih yakin pada perubahan yang positif untuk Malaysia membentuk Amanah.

Dari Pakatan Rakyat, lahir Pakatan Harapan melalui Keadilan, DAP dan Amanah.

Pada masa sama, perpecahan dalam Umno menyebabkan pemimpin-pemimpinnya – Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Shafie Apdal – dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meninggalkan parti. Shafie kemudiannya menubuhkan Warisan di Sabah sementara yang lain-lainnya menyusun semula gerakan sebagai Bersatu.

Bersatu kini anggota Pakatan Harapan. Warisan pula bekerjasama dengan pakatan di Sabah.

Pakatan itu kemudiannya menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Anwar – apabila dibebaskan dan kembali ke Parlimen – kemudian akan jadi calon Perdana Menteri kita.

Untuk mengatakan bahawa politik Malaysia, terutamanya dalam lingkungan pembangkang, telah banyak berubah adalah satu kenyataan yang kurang tepat.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang turut mempengerusikan pakatan pembangkang Pakatan Harapan dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.

Malah, banyak yang mengkritik keputusan Pakatan Harapan menerima Dr Mahathir dan Bersatu.

Langkah itu diserang oleh pelbagai pihak sebagai mengkhianati semangat gerakan Reformasi yang berusia hampir dua dekat, atau melihatnya sinis sebagai wayang untuk kekuasaan atau setidak-tidaknya, kegagalan parti-parti pembangkang untuk bangkit semula.

Saya bukannya tidak maklum akan segala kritikan itu.

Dan saya tahu kebanyakan mereka yang menghamburkan kritikan itu melakukannya atas kepentingan negara dan rasa cinta pada perjuangan untuk pembebasan.

Tetapi saya juga yakin langkah yang diambil oleh kepimpinan Pakatan Harapan adalah yang terbaik untuk parti, perikatan kita dan paling mustahak untuk rakyat Malaysia.

Adalah penting untuk semua pihak yang mahukan perubahan politik yang positif di Malaysia, yang mahu membetulkan salah guna kuasa pemerintah sekarang bersatu.

Negara ini majmuk dan sejujurnya, berpecah, terutamanya dari segi anutan politik dan sikap terhadap etnik, bahasa dan agama.

Sebarang pakatan atau kerjasama politik yang berdaya maju perlu melibatkan semua pihak. Bertolak ansur adalah satu keperluan, termasuk atas isu-isu sensitif yang menyentuh politik identiti.

Dalam hati ini, saya percaya masanya akan tiba tidak lama lagi untuk politik progresif yang tulen tumbuh di Malaysia.

Dan saya percaya bahawa generasi saya – dan generasi yang bangkit selepas kami – akan mengambil alih tanggungjawab memimpin parti, rakyat dan dan negara kita.

Namun semua ini tidak akan berlaku – tidak akan pernah terjadi – sekiranya keadaan tidak berubah, sama seperti sekarang.

Status quo itu tidak akan berubah – dan tidak pernah berubah – tanpa perubahan kerajaan pada peringkat persekutuan.

Ada pepatah lama tetapi dalam politik berulang-ulang kali terbukti kebenarannya: bercerai kita roboh.

Pilihan raya umum yang bakal tiba ini akan jadi sangat mencabar, setidak-tidaknya kerana pertembungan beberapa penjuru yang hampir pasti berlaku.

Tetapi saya menaruh harapan.

Rakyat dijangka sekali lagi akan memberi kejutan menerusi kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang perlu diadakan sebelum Ogos.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.

Pada 2018, rakyat masih jelak dengan kepimpinan yang lemah, jenayah yang meningkat dan politik perkauman. Mereka sedia untuk ke depan melangkau isu-isu tuduhan rasuah serta kenaikan kos sara hidup.

Pada 2018, rakyat masih marah dan sedia untuk berubah. Mereka sedia untuk sistem pendidikan yang lebih baik, untuk peluang pekerjaan, perumahan dan rawatan kesihatan yang lebih mudah diperolehi, untuk sebuah kerajaan yang mendengar suara rakyat kebanyakan dan bukannya pihak yang berkepentingan.

Pada 2018, kita boleh sekali lagi mengulangi sejarah.

2018 adalah tahun untuk rakyat Malaysia yang percaya kepada urus tadbir yang baik, kepelbagaian kaum yang tulen serta kebebasan warga berganding bahu.

2018 adalah tahun untuk kita menuntut Dr Mahathir memenuhi janji-janjinya melaksanakan pembaharuan politik.

2018 adalah tahun yang saya harap akan menjemput rakan-rakan kita dalam masyarakat sivil – termasuk mereka yang kini menyertai gerakan “undi rosak” – bersama-sama kita memperjuangkan masa depan Malaysia. Saya berharap mereka akan berkongsi idea dan maklum balas – serta tenaga dan sokongan.

2018 harus jadi tahun yang akan memenuhi janji, harapan dan optimisme pada 2008 dan 2013.

2018 harus jadi tahun rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan, untuk satu permulaan baharu dan untuk esok yang lebih baik bagi anak cucu kita – asakan akhir untuk menukar kerajaan persekutuan yang tidak pernah kita lalui sejak Merdeka. – 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen