Gobind ingatkan Saifuddin pendirian Pakatan tentang Sosma


Ahli Parlimen DAP Damansara Gobind Singh Deo mengingatkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang Pakatan Harapan sentiasa konsisten dengan seruan reformasi, tentang isu Sosma antaranya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2022.

AHLI Parlimen Damansara Gobind Singh Deo menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyemak semula pendiriannya berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Katanya, kenyataan menteri itu bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang mengakui Sosma “bermasalah”.

“Walaupun kita terima ada keperluan untuk undang-undang menangani keselamatan negara, tetapi kita juga tidak boleh menafikan hakikat yang Sosma bersifat menindas,” kata Gobind dalam satu hantaran di Facebook.

Awal hari ini, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata kerajaan pimpinan PH tidak boleh mengekalkan dan mempertahankan Sosma drakonian yang mereka undi di Parlimen awal tahun ini ketika menjadi pembangkang.

Sentimen sama turut dikongsi oleh kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) yang menuntut Putrajaya memansuhkan peruntukan yang menafikan jaminan Sosma dan mengembalikan peranan majistret dalam memberikan perintah reman.

Mereka mengulas kenyataan Saifuddin semalam yang menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma.

“Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan aspek drakonian Sosma ini. Kami dalam PH konsisten dengan seruan reformasi.

“Apabila berhadapan dengan undang-undang yang bersifat menindas, perlu ada perbincangan dan ambil kira pandangan untuk bergerak ke hadapan selaras dengan desakan untuk reformasi,” kata Gobind.

Ahli Parlimen DAP itu berkata demikian merujuk kepada Seksyen 4 Sosma yang membenarkan individu ditahan sehingga 28 hari dan tanpa akses untuk mahkamah.

“Sepatutnya ada proses yang membolehkan seseorang ditahan dibicarakan di mahkamah. Inilah sebabnya kami dalam PH mengundi menentang usul yang dibawa oleh menteri dalam negeri sebelum ini untuk melanjutkan Seksyen 4(5) Sosma di Parlimen pada 23 Mac,” kata Gobind. – 14 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen