Akar umbi BN, Pakatan tidak jangka masalah besar hadapi PRN


Diyana Ibrahim

Penganalisis politik berpendapat gabungan Pakatan Harapan dan BM akan menerima saingan sengit dari PN, terutama PAS yang menang 49 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2022.

PEMIMPIN akar umbi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjangka berdepan masalah agihan kerusi dan penerimaan di kalangan jentera kedua-dua parti dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun depan di pantai timur.

Bagaimanapun mereka menjangka masalah itu mungkin hanya berlaku pada peringkat awal dan ia tidak memberi kesan besar sehingga boleh menjejaskan seluruh kerjasama.

Seorang pemimpin BN Terengganu Nik Dir Nik Wan Ku berkata paling penting kedua parti dapat mencari formula dan strategi terbaik yang dapat memenangkan kedua-dua pihak.

Ketua penerangan Umno negeri itu yakin jentera parti berkenaan boleh menerima kerjasama tersebut kerana PH Terengganu didominasi PKR serta Amanah dan bukannya DAP.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, hal ini kerana pemimpin Umno menanam sentimen di kalangan ahli untuk menolak DAP sejak berpuluh tahun lalu.

“Masalah itu ada tapi ia tidak membebankan Umno di Terengganu sebab konteks untuk pilihan raya negeri ini tidak sama.

“Kalau kita tengok konteks PH di Terengganu ini hanya (diwakili) PKR, Amanah. DAP tidak ada sangat, dan semua kerusi majoriti Melayu.

“Jadi saya rasa tidak akan timbul masalah cuma kita kena cari kekuatan PKR di kerusi mana dan Amanah di kerusi mana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditanya sekiranya pemimpin negeri sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu, beliau berkata mereka ketika ini hanya menunggu arahan dari presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Nik Dir berkata secara dasarnya, Umno Terengganu bersetuju untuk agar PH bertanding di beberapa kerusi dalam PRN tahun depan.

Selain Terengganu, PRN juga akan berlangsung di Kelantan dan Kedah yang ditadbir PN serta Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dipimpin PH.

DUN di enam negeri tersebut tidak dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober bagi mengadakan PRU15 19 November.

Kerjasama kedua-dua gabungan PH dan BN itu menjadi persoalan walaupun kedua-duanya kini membentuk kerajaan persekutuan dengan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh.

Penganalisis politik berpendapat gabungan berkenaan akan menerima saingan sengit dari PN, terutama PAS yang menang 49 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15.

PH, BN sukar lawan penguasaan Perikatan

Cabaran sukar itu diakui seorang pemimpin akar umbi PKR Kelantan yang melihat gabungan dua parti PH dan BN masih tidak memadai untuk menembusi penguasaan PAS di pantai timur.

Beliau yang enggan dinamakan menjangka PAS tidak akan tergugat di kerusi negeri Terengganu dan Kelantan selepas menyapu bersih semua kerusi Parlimen di dua negeri itu bulan lalu.

Pemimpin cabang PKR Tanah Merah itu antara lain menjangka PAS akan terus menarik sokongan pengundi Melayu dengan menyerang PH dengan retorik perkauman.

Selain itu, pelantikan Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit dengan isu rasuah sebagai timbalan perdana menteri dalam Kabinet Anwar juga akan menjadi bahan kempen utama, katanya.

Walaupun kerjasama itu sukar, beliau percaya PH dan BN tetap boleh memberi saingan dengan strategi lebih tepat, peruntukan lebih besar dan penerangan lebih luas.

“Kalau kita tengok masa PRU15 jelas di Kelantan dan Terengganu memang rakyat dah tolak Umno tapi mungkin ada sebab kenapa presiden kita ambil mereka balik.

“Cuma hujah kita ketika ini ialah kerana kerajaan perpaduan yang perlu dibentuk,” katanya.

Jelasnya, PH perlu menggerakkan strategi baharu dalam menghadapi PRN sebagai parti memerintah bagi menghadapi jentera pembangkang.

“Maksud saya strategi yang tepat bagi PKR kita berharap pucuk pimpinan di pusat melihat kita sudah menjadi kerajaan jadi cara lawan pun kena macam kerajaan dan bukan pembangkang lagi.

“Apa kita harapkan pusat dapat menyalurkan peruntukan sebab kita nak berperang janganlah  bagi batang kayu, lawan dengan air liur sedangkan pihak lawan guna (senjata) senapang, nuklear.”

Sama seperti Umno, beliau berkata PH masih belum mengadakan perbincangan berhubung jajaran kerjasama baharu itu.

“Di peringkat pusat pun masih belum ada lagi perbincangan, jadi buat masa sekarang masih tak jelas bagaimana jajaran baharu ini akan dibentuk,” katanya.

Beliau menganggarkan, PH dapat menumpukan di sekurang-kurangnya tiga kerusi dari di Kelantan.

“Cuma kalau secara peribadi, untuk PKR kita tidak kisah dalam soal pembahagian kerusi hatta kalau saya PH dapat tiga kerusi pun sudah cukup kerana melihat daripada kekuatan kita di pantai timur,”  katanya.

BN kini menguasai lapan kerusi DUN di Kelantan dan sepuluh di Terengganu manakala PKR dan Amanah tidak menguasai mana-mana kerusi di dua negeri tersebut.

Dalam PRU13, PKR menguasai kerusi DUN Guchil di Kelantan dan DUN Bandar di Terengganu manakala Amanah menguasai DUN Salor selepas penyandangnya Husam Musa disingkir dari PAS. – 14 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen