Kebocoran gas di Nord Stream mungkin ancam eskosistem, kata penyelidik


Dapatan penyelidikan menunjukkan sebahagian besar gas metana yang bocor dari saluran paip Nord Stream di dasar Laut Baltik tidak naik ke atmosfera. – Gambar EPA, 12 Disember, 2022.

LEBIH dua bulan selepas kebocoran gas Nord Stream pertama dilaporkan, paras metana masih meningkat dan mungkin mengancam ekosistem, kata penyelidik di sebuah universiti Sweden pada Ahad.

Dapatan penyelidikan menunjukkan sebahagian besar gas metana yang bocor dari saluran paip di dasar Laut Baltik tidak naik ke atmosfera. Sebaliknya, gas itu larut dalam air dan merebak bersama arus, lapor Xinhua memetik kenyataan Universiti Gothenburg.

“Sepanjang dua minggu pertama, kami melihat paras metana yang sangat tinggi, hampir terlalu tinggi untuk diukur oleh sensor (alat pengesan) kami dan mungkin sehingga seratus kali lebih tinggi berbanding biasa.

“Baru sekarang kami melihat ia turun kembali ke paras normal, namun, kadangkala kita masih melihat tompok metana yang sangat tinggi,” kata seorang pakar oseanografi universiti itu Bastien Queste.

Penyelidikan itu dijalankan dengan kerjasama yayasan penyelidikan marin Sweden, Voice of the Ocean. Penyelidik menggunakan robot dasar air untuk tugas mengukur dan data dihantar kepada penyelidik melalui satelit.

“Jumlah besar metana yang terlarut di dalam air mungkin akan menjejaskan kehidupan laut,” kata seorag ahli biologi marin di Jabatan Sains Marin universiti Thomas Dahlgren.

Beliau berkata penurunan pantas metana disebabkan penguraian bakteria boleh membawa kepada persenyawaan berlebihan dan pengasidan lautan.

“Itu yang berlaku selepas kebocoran serupa di Teluk Mexico pada 2010,” kata Dahlgren.

Saluran paip itu mengandungi sekitar 778 juta meter padu gas metana ketika rosak, lapor Agensi Tenaga Denmark. – Bernama, 12 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen