PENAFIAN Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkenaan dakwaan layanan tidak berperikemanusiaan di depoh tahanan Imigresen di Kimanis, Sabah sukar diterima, malah Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan beliau sama sahaja seperti pendahulunya.
Menteri yang baru dilantik itu sepatutnya mengarahkan satu siasatan dijalankan, bukan memberi alasan keadaan fizikal dan kesihatan tahanan sebelum mereka ditahan, kata pengarah kumpulan hak asasi manusia itu.
Zaid Malek dalam satu kenyataan hari ini berkata penafian Saifuddin mengenai rakaman video seorang tahanan yang mendakwa menerima layanan buruk di depoh tahanan di Kimanis bertentangan dengan tadbir urus yang baik yang dilaungkan kerajaan perpaduan.
“Ini antara jawapan yang tidak masuk akal yang pernah dikeluarkan oleh seorang menteri dalam negeri berkait penderaan tahanan,” katanya.
Baru-baru ini tular satu rakaman video sepanjang 90 saat memaparkan seorang lelaki yang kelihatan kurus kering merayu supaya dia dan rakannya dibebaskan daripada tahanan di depoh Kimanis. Lelaki itu mendakwa mereka tidak diberi makan dan minum secukupnya, selain tidak diberi ubat untuk masalah gatal kulit.
Ketika diminta mengulas mengenai video berkenaan, Saifuddin berkata mengikut makluman yang diterima daripada Jabatan Imigresen (JIM), tubuh tahanan tersebut sudah pun susut ketika ditahan pihak berkuasa.
Menteri itu juga berkata tidak adil jika isu terbabit diperbesarkan tanpa menyelidik dahulu fakta sebenar.
Dakwaan itu turut dinafikan Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusoff, menambah rakaman video berkenaan dieksploitasi oleh pihak tertentu.
Dalam kenyataannya hari ini, Zaid seterusnya berkata LFL kecewa dengan kerajaan perpaduan diterajui Pakatan Harapan, yang sebelum ini mendakwa mereka memperjuangkan perubahan tetapi sebaliknya tidak jauh beza dengan kerajaan terdahulu.
“LFL berasa kecewa kerana kerajaan yang kini diterajui PH yang telah lama mewar-warkan diri mereka sebagai ‘reformis’ kini mengikut jejak langkah kezaliman pendahulu mereka.
“Pendatang dalam video tersebut mengadu tidak diberi makan dan minum yang cukup serta rawatan perubatan. Lelaki itu kelihatan kurus kering dan lemah tetapi Saifuddin tidak mengendahkannya.
“Satu-satunya bukti yang beliau gunakan untuk menyokong responsnya adalah taklimat daripada Jabatan Imigeresen yang menafikan dakwaan tersebut, iaitu pihak berkepentingan yang jelas mahu mengetepikan dakwaan penderaan atau layanan buruk,” jelasnya.
Tambah beliau, dakwaan penderaan di depoh tahanan adalah perkara serius, yang perlu disiasat dengan segera dan menyeluruh. – 12 Disember, 2022.
Komen