Afrika Selatan hapus jenayah kerja seks


Afrika Selatan akan mendekriminalisasikan kerja seks dengan harapan dapat menangani jenayah yang tinggi terhadap wanita di negara yang mempunyai kes HIV tertinggi di dunia itu. – Gambar AFP, 10 Disember, 2022.

AFRIKA Selatan semalam berkata mereka akan mendekriminalisasikan kerja seks dengan harapan dapat menangani jenayah yang tinggi terhadap wanita di negara yang mempunyai kes HIV tertinggi di dunia itu.

Jual beli perkhidmatan seksual tidak lagi dianggap sebagai jenayah di bawah cadangan perundangan yang dikemukakan oleh Kementerian Kehakiman.

Menurut kumpulan advokasi terdapat lebih 150,000 pekerja seks di negara berkenaan.

“Langkah ini diharap dapat meminimumkan pencabulan hak asasi manusia terhadap pekerja seks. 

“Ia juga bermakna akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan dan memberikan perlindungan yang lebih baik untuk pekerja seks, keadaan kerja yang lebih baik dan kurang diskriminasi dan stigma,” kata Menteri Kehakiman Ronald Lamola dalam satu sidang media.

Afrika Selatan dilanda gelombang keganasan yang semakin meningkat terhadap wanita.

Menteri Polis Bheki Cele melaporkan peningkatan dua angka dalam kes pembunuhan terhadap golongan wanita tahun ke tahun antara Julai dan September dengan hampir 1,000 wanita terbunuh.

Jenayah rogol juga meningkat 11% dengan 10,000 kes dalam tempoh itu, katanya.

“Dengan pekerja seks tidak lagi dilabelkan sebagai penjenayah, mereka boleh bekerja lebih baik dan polis untuk menangani keganasan,” kata kumpulan hak pekerja seks SWEAT di Facebook yang mengalu-alukan rang undang-undang itu sebagai “berita luar biasa”.

Beberapa insiden mengerikan baru-baru ini mengejutkan negara termasuk penemuan berbelas mayat dipercayai pekerja seks yang hilang di sebuah bangunan di Johannesburg pada Oktober.

Perlembagaan pasca-apartheid Afrika Selatan adalah antara yang paling liberal di dunia membenarkan undang-undang progresif mengenai pengguguran dan perkahwinan sejenis, tetapi kerja seks telah lama kekal sebagai isu yang sering menimbulkan perbalahan.

Rang undang-undang itu yang telah diterbitkan untuk ulasan umum hanya memperkatakan penyahkriminalisasian dan tidak mengawal selia industri seks—sesuatu yang Lamola katakan akan menyusul pada peringkat akan datang.

Parlimen perlu meluluskan perundangan yang dicadangkan untuk dijadikan undang-undang. Prosedur mengambil masa beberapa bulan. – AFP, 10 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen