Pergerakan masyarakat sivil perlu kekal tidak berpihak, kata C4


Bede Hong

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel mengatakan pergerakan masyarakat sivil perlu mengekalkan pendirian tidak berpihak mereka walaupun kerja mereka selalunya berunsur politik bagi memastikan dapat mendekati semua ahli politik tanpa mengira parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2018.

PERGERAKAN masyarakat sivil perlu kekal tidak berpihak supaya boleh menjalankan kerja mereka dengan berkesan, kata pusat pemantau anti korupsi, C4.

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata kerja pergerakan masyarakat sivil melibatkan semua ahli politik merentasi sempadan ideologi politik.

“Pergerakan masyarakat sivil perlu terus kekal tidak berpihak,” katanya apabila diminta mengulas kenyataan bekas penganalisis Ideas, Wan Saiful Wan Jan mendesak pergerakan masyarakat sivil menyatakan sokongan kepada parti politik pilihan mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita mempengaruhi dasar dan kita berbincang dengan ahli-ahli politik kedua-dua belah (kerajaan dan pembangkang),” katanya.

“Secara alamiahnya, pergerakan masyarakat sivil tidak berpihak, tetapi ia banyak buat kerja yang berunsur politik,” tambah Cynthia.

“Kita bekerja keras untuk mempengaruhi pembuat dasar dalam pelbagai isu terutamanya dalam tadbir urus dan isu hak asasi.

“Dalam usaha melakukan kerja-kerja advokasi, ia boleh jadi politikal. Kita memang mendekati ahli politik untuk mempengaruhi dasar atau manifesto dan setiap hubungan kita ada agenda tertentu,” katanya.

Wan Saiful dalam forum malam tadi dan sidang media Isnin lalu mengatakan beliau sudah tidak boleh kekal dalam NGO atau pergerakan masyarakat sivil kerana merasakan beliau “bersetuju” dengan situasi politik dihadapi negara sekarang.

Wan Saiful bercakap tentang keputusannya menyertai Bersatu selepas meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hak Ehwal Ekonomi (Ideas) yang juga diasaskannya.

Beliau dijangka bertanding kerusi Parlimen menggunakan tiket Bersatu.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk isytiharkan siapa yang paling hampir dengan tuntutan dan permintaan anda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu Isnin lalu.

“Tidak berpihak sangat penting dalam pergerakan masyarakat sivil tetapi pada masa sama, tidak berpihak tidak bermakna anda tak perlu sokong sesiapa.

“Apabila masanya tiba, saya harap anda akan beri sokongan kepada parti yang paling hampir dengan visi Malaysia anda. Jika tidak, apa yang berlaku anda hanyalah dalam diam menyokong (apa yang berlaku sekarang),” katanya.

Seorang lagi tokoh pergerakan masyarakat sivil, Maria Chin Abdullah turut meletak jawatan dalam organisasi pimpinannya, Bersih 2.0 untuk menyertai politik. Beliau dijangka bertanding sebagai calon bebas tetapi di bawah Pakatan Harapan.

Keputusan Maria menerima kecaman pemimpin Umno dan Gerakan yang menyifatkannya sebagai kuda tunggangan pembangkang.

“Kami berharap yang Wan Saiful dan Maria boleh terus mengekalkan semangat perubahan dalam parti masing-masing tanpa dicemari (dengan ideologi politik),” kata Cynthia. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen