PERNIAGAAN kecil berdepan risiko ditutup kerana tidak dapat menampung kos operasi yang naik mendadak kesan GST dan gaji minimum walaupun perniagaan besar masih boleh bertahan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.
“GST amat, amat keras kesannya (terhadap rakyat dan perniagaan). Kos pengeluaran barangan (dan perkhidmatan) naik… (ini adalah kerana) proses membayar balik GST ini akan mengambil masa sehingga berbulan-bulan, jadi mereka yang membayar GST masih juga perlu menaikkan harga barangan mereka supaya belanja mereka membayar GST dapat dipulihkan (ditampung),” kata bekas perdana menteri itu pada sesi siaran langsung di Facebook mengenai kos sara hidup hari ini.
Selain GST, pengerusi Bersatu itu juga mengatakan gaji minimum adalah beban kepada perniagaan kecil.
“Sementara peniaga besar boleh memperbetulkan cara pengeluaran mereka supaya lebih efficient tetapi bagi peniaga kecil, kedai tomyam, kedai baiki basikal dan sebagainya, mereka tak dapat tingkatkan gaji pekerja mereka, mungkin mereka terpaksa tutup perniagaan.
“Jika mereka tutup perniagaan, bukan sahaja mereka tidak dapat pendapatan mereka, tetapi juga akan berlaku pengangguran di kalangan pekerja mereka,” kata Dr Mahathir lagi.
Dr Mahathir mengatakan perniagaan kecil tersepit kerana berisiko kehilangan pelanggan jika mereka meningkatkan harga mendadak dalam suasana ekonomi semasa. – 7 Mac, 2018.
Komen