Surat kepada Fahmi Fadzil: Tengokkan Finas, selamatkan filem Malaysia


Noor Azam Shairi

Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil diharap dapat membawa perubahan kepada industri perfileman negara melalui Finas. – Gambar Facebook, 9 Disember, 2022.

YANG Berhormat,

Saya sangat memahami banyaknya kerja yang menunggu Yang Berhormat di meja sekarang.

Awal minggu ini, Yang Berhormat disindir, ditegur, dan diberi peringatan supaya segera campur tangan dalam soal penyebaran berita palsu – berita yang dikatakan tidak memihak kerajaan dan parti Yang Berhormat.

Beberapa hari sebelumnya Yang Berhormat juga bercakap tentang Majlis Media Malaysia, yang penubuhannya tertangguh selepas kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Februari 2020.

Saya percaya soal berita palsu, media tidak bertanggungjawab dan jalan ke hadapan untuk media yang beretika sebahagian besarnya boleh kita tangani melalui majlis media.

Saya percaya Yang Berhormat juga maklum kemungkinan-kemungkinan itu.

Segerakanlah penubuhan majlis media ini. Penubuhannya juga ada antara janji parti Yang Berhormat semasa pilihan raya lepas.

Saya percaya kertas-kertas mengenainya sudah siap dan teratur. Kawan Yang Berhormat, menteri yang dulu, Gobind Singh Deo, mungkin ada sedikit panduan mengenainya.

Saya tahu soal berita palsu atau yang dikatakan fitnah itu hanya satu daripada sekian banyak hal yang perlu Yang Berhormat selesaikan.

Penerangan dasar kerajaan bawah Yang Berhormat. Hendak memajukan Bernama, RTM dan Japen bawah Yang Berhormat.

Isu scammer bawah Yang Berhormat. Kebocoran dan keselamatan data bawah Yang Berhormat. Hendak memajukan animasi, video game, dan bisnes dalam talian pun bawah Yang Berhormat.

Saya faham. Saya tahu ada empat jabatan dan tujuh agensi bawah Yang Berhormat. Minggu ini khabarnya Yang Berhormat mula bertemu dan mendengar taklimat daripada pegawai-pegawai. Eloklah begitu.

Saya cuma mahu mengambil kesempatan di ruang yang terhad ini untuk merayu perhatian Yang Berhormat untuk melihat keadaan seni filem kita.

Hidupnya segan, mati tidak mahu. Saya percaya Yang Berhormat boleh buat sesuatu.

Saya bukan hendak tunjuk pandai, jauh sekali hendak mengarah itu ini. Saya cuma mahu menyampaikan suara hati, termasuk daripada kawan-kawan yang sayang dan cintakan filem Malaysia.

Ini harapan kami kepada Yang Berhormat sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Saya ada tiga perkara sahaja yang hendak disentuh.

1. Semak Projek Road to Oscar

Pertamanya, mohon Yang Berhormat untuk teliti semula projek Road to Oscar yang sedang berjalan di Finas. Ini bukan caranya untuk memajukan filem.

Filem kita tidak patut menjadikan Anugerah Akademi sebagai sasaran. Itu bukan sasarannya.

Tidak ada orang yang buat filem untuk menang anugerah. Orang buat filem untuk bercerita, dan tentunya hendak untung, tidak mahu rugi.

Kita tidak patut menanam dalam fikiran pengurus hal ehwal filem di Finas dan karyawan filem negara ini bahawa buat filem untuk menang anugerah. Itu salah.

Projek itu diperkenalkan selepas “Parasite”, filem arahan Bong Joon-ho dari Korea Selatan, menang Anugerah Akademi.

Masa itu kita macam kena mabuk kimchi; kita pun hendak jadi macam Korea Selatan. Kita pun hendak filem Malaysia menang Oscar.

Kita lupa agaknya serampang banyak mata yang dibuat oleh pemerintah Korea Selatan pada hujung 1990-an untuk membangunkan sinema tempatan, yang hasilnya baharu kita nampak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun-tahun awal itu, Korea Selatan memperketatkan syarat kuota tayangan untuk menjaga filem tempatan.

Seorang pengarah filem Lee Chang-dong kemudian dilantik jadi menteri kebudayaan dan pelancongan.

Dia antara pejuang sistem kuota tayangan yang ketat untuk filem tempatan serta pendukung kebebasan kreativiti yang dikongkong sekatan tidak masuk akal.

Pada tahun-tahun awal itu juga, antara akhir 1990-an dan awal 2000-an, filem Korea Selatan mula naik daun.

Filemnya laku di pasaran tempatan, jadi perhatian di festival antarabangsa dan sesetengahnya dibeli oleh penerbit di Amerika Syarikat untuk dibuat semula bagi pasaran Hollywood.

Semua itu hari ini menjadi catatan awal dan nota kaki dalam sejarah kebangkitan filem Korea Selatan.

Yang Berhormat suatu masa dahulu pelakon, pernah berlakon teater dan filem. Tak kisahlah wataknya kecil atau besar.

Yang Berhormat juga pernah jadi penerbit sebuah dokumentari. Saya masih ingat. Saya yakin Yang Berhormat satu-satunya karyawan yang jadi ahli politik, dan berjaya. Yang Berhormat tentunya sangat faham maksud saya.

2. Teruskan MyLab

Waktu bertemu dengan pegawai di Finas nanti, mohon Yang Berhormat tanya kepada mereka laporan lengkap kemajuan program MyLab.

Ini projek usahasama pengembangan filem melalui Finas dengan agensi setara di Singapura, Filipina, Taiwan, dan Korea Selatan.

Ada lapan projek yang sedang dibangunkan. Semasa Yang Berhormat sibuk mengatur kempen untuk pilihan raya yang baru lepas, semua projek ini dipersembahkan di Festival Filem Antarabangsa Busan di Korea Selatan.

Inilah jalan untuk masa depan, Yang Berhormat. Jalan masa depannya ialah untuk karyawan kita – penulis, pengarah, penerbit – bekerjasama dengan bakat-bakat luar yang satu aliran dan satu kepercayaan dengan mereka.

Itulah jalan untuk mereka lebih maju dengan melihat cara kerja yang lebih baik dan lebih profesional.

Bawah MyLab, karyawan muda filem kita belajar tentang penerbitan filem yang lebih teratur, daripada soal mencari dana sampailah kepada hal ehwal pengurusan dana.

Mereka juga belajar tentang cerita dan penceritaan, tentang pentingnya menulis draf, membuang draf dan menulisnya semula berkali-kali.

Projek ini baru mahu berhasil. Elok jangan dihentikan dan dibiar mati setengah jalan.

Elok juga Yang Berhormat mendengar sendiri dari mulut Lorna Tee tentang MyLab ini. Saya sebut namanya bukan sebab dia kawan saya.

Saya percaya kalau Yang Berhormat bertanya kepada banyak orang siapa yang patut dirujuk untuk hal ehwal pengembangan masa depan filem, mereka pun akan sebut nama dia. MyLab ini dialah yang mengendalikannya sekarang.

3. Lahirkan penonton, maka akan lahirlah filem

Ketiga, dan yang akhir, saya mohon sangat-sangat untuk Yang Berhormat meneliti semula sekian banyak cadangan daripada pelbagai pihak sebelum ini mengenai pentingnya usaha membangunkan khalayak filem.

Kita perlu ada penonton yang cerdik supaya karyawan juga dipaksa untuk menghasilkan filem cerdik. Apa yang kita ada sekarang ini, umumnya… tak apalah, tak payah saya panjang lebar ke situ. Yang Berhormat pun tentu faham.

Bagaimana caranya untuk melahirkan penonton cerdik?

Harus ada galakan untuk program yang bersifat mengasuh budaya menonton filem yang baik. Ini boleh dibuat di sekolah melalui kelab seni filem.

Tayangan filem sebagai aktiviti ko-kurikulum harus disusuli dengan perbincangan serta penulisan kritikan dan ulasan.

Filem tidak perlu jadi mata pelajaran di kelas tetapi filem mesti jadi antara aktiviti utama di sekolah.

Setidak-tidaknya, Yang Berhormat boleh berbincang dengan menteri pendidikan untuk memulakannya di Sekolah Seni Malaysia.

Sekolah seni pun satu hal juga, lagi panjang ceritanya tetapi itu bab yang lain.

Harus juga ada galakan untuk kelab wayang yang selalu menawarkan filem-filem di luar jalur popular.

Kelab Seni Filem Malaysia dan Wayang Budiman adalah antara dua kelab wayang yang aktif dan konsisten.

Yang Berhormat tentu sekali maklum, malah kenal beberapa penggiatnya. Kelab wayang seperti ini harus diberikan dukungan, baik dana atau apa saja bantuan.

Kelab wayang seperti ini misalnya perlukan tempat tayangan yang lebih baik dan selesa.

Kelab Seni Filem Malaysia misalnya, berpindah randah dari satu lokasi ke satu lokasi. Yang Berhormat pun tahu.

Wayang Budiman pula beroperasi di lot kedai di Alam Budiman, Shah Alam. Tempatnya tidak selesa untuk menonton filem tetapi cita-citanya besar.

Yang Berhormat lihat sajalah senarai filem yang ditayangkan dari masa ke masa. Suatu hari Yang Berhormat harus cari masa ikut menonton filem di sana. Luar biasa.

Apa yang penting apresiasi filem harus dirakyatkan. Sebelum ini ada banyak pihak yang sudah menulis panjang lebar tentang pawagam rakyat, satu pawagam di setiap daerah, dan pawagam komuniti.

Saya tidak mahu mengulang-ulangnya di sini. Yang Berhormat harus minta pegawai di Finas keluarkan segala rencana yang tersiar di media untuk rujukan. Mereka tentu ada simpan.

Itu sahaja tiga perkara yang saya mohon Yang Berhormat beri perhatian. Buat masa ini. Moga ada jalan keselamatan untuk masa depan sinema Malaysia. – 9 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen