Saya bukan ‘kuda tunggangan’ pembangkang, kata Maria Chin


Muzliza Mustafa

Keputusan Maria Chin Abdullah masuk politik dan hasrat mahu bertanding pilihan raya diselar Barisan Nasional yang menggelarkan bekas pengerusi Bersih 2.0 itu sebagai kuda tunggangan pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 7 Mac, 2018.

MARIA Chin Abdullah memberitahu pengkritiknya supaya tidak keliru dengan kemasukannya ke dalam politik dengan penglibatannya dalam Bersih 2.0.

Bekas pengerusi badan pendesak perubahan pilihan raya itu mengatakan keputusannya tidak dipengaruhi oleh sesiapa dan pengkritik perlu memikirkan kembali apa yang mereka katakan kerana dirinya dan Bersih 2.0 adalah entiti yang berbeza.

“Keputusan untuk bertanding adalah keputusan saya dan ia tidak boleh dikaitkan dengan Bersih. Agenda Bersih sangat jelas yang mereka mahukan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya mengulas kecaman berterusan Barisan Nasional terhadap keputusannya untuk bertanding.

Katanya, Bersih tidak pernah berpihak kepada mana-mana parti politik dalam perjuangan.

“Setiap kali kami ada program kami jemput kedua-duanya, Barisan Nasional dan pembangkang. Mereka yang sokong agenda Bersih akan datang. Jadi jika pembangkang sokong agenda kami mereka akan datang. Bukan sebaliknya. Seperti Barisan Nasional pula, mereka tak sokong kami jadi mereka tak datang. Ia adalah isu yang berbeza (Maria dan Bersih). Hanya kerana saya sertai politik tidak bermaksud Bersih kini adalah sebuah parti politik atau kuda tunggangan mana-mana parti politik,” kata Maria.

Ketua Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii dalam satu kenyataan media hari ini menuduh Maria menjadi kuda tunggangan pembangkang.

Katanya, Bersih yang dahulunya memperjuangkan pilihan raya yang adil jelas sekali menjadi kuda tunggangan untuk mencetuskan kekecohan dalam negara ini.

“Ramai pengikut Bersih termakan hasutan yang dibawa oleh NGO ini kononnya mereka memperjuangkan hak-hak asas pilihanraya yang bersih dan adil. Dalam masa yang sama menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan persekutuan telah dan akan melakukan pilihan raya yang tidak bersih serta melangar peraturan demi untuk mengekalkan kemenangan kepada pihak kerajaan,” kata Razlan.

Katanya, keputusan Maria terbukti perjuangannya dalam NGO bermotif politik dan cenderung ke arah pembangkang.

Maria secara rasmi meletak jawatan sebagai pengerusi Bersih 2.0 dan mengumumkan hasrat bertanding di kerusi Parlimen semalam.

Maria berkata beliau mahu bertanding di kerusi Parlimen kerana jika menang mahu menggunakan statusnya ahli Dewan Rakyat itu untuk memperjuangkan agenda masyarakat sivil.

“Saya lebih memilih kerusi Parlimen. Ia berada di peringkat persekutuan di mana undang-undang diluluskan. Tidak lebih baik daripada kerusi Parlimen.

“Jika mereka (PH) tidak memberikan kerusi (persekutuan), saya tidak akan bertanding,” katanya. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen