SPRM sahkan siasat kes seleweng dana RM600 bilion


SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut, berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan negara RM600 bilion.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat itu.

“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19, pernah dibangkitkan oleh bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lepas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.

Anwar berkata Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat, susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini. – Bernama, 8 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen