Padang Serai, Tioman isyarat rakyat tidak terima langkah Pakatan, BN, kata Muhyiddin


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan pilihan raya Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman semalam sebagai petanda positif sokongan padu rakyat kepada gabungan pimpinannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2022.

KEPUTUSAN pilihan raya Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman semalam isyarat rakyat tidak menerima langkah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersama, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Katanya, keputusan itu membuktikan rakyat tidak mempercayai gabungan tersebut selain tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran diterajui PH untuk mentadbir negara.

“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU 15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever’ (penipuan pilihan raya paling besar) dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

PH yang berkempen antara lain atas tema “tolak penyamun”, yang dirujuk antaranya pemimpin yang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah, kemudian bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Presiden Umno dan pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang membela diri atas 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi, dilantik timbalan perdana menteri.

BN pula, terutamanya Umno, sebelum PRU15 lantang melaungkan menolak sebarang kerjasama politik dengan PKR dan DAP, dua tonggak utama dalam PH.

Muhyiddin menyifatkan keputusan pilihan raya semalam “petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN”.

“Keputusan kedua-dua PRK ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH,” katanya.

“Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14,” katanya.

PN menang di Padang Serai, kerusi yang dianggap kawasan selamat PH, sekaligus mengekalkan rekod menyapu bersih kawasan Melayu pada PRU15.

PN bagaimanapun kalah di Tioman tetapi mengurangkan sehingga hampir setengah majoriti calon BN yang menang.

Di Padang Serai, calon PN Azman Nasrudin mendapat 51,637 undi mengalahkan lima calon lain mengatasi calon terdekat Dr Mohamad Sofee Razak dari PH dengan 35,377 undi. Azman menang dengan kelebihan 16,260 undi.

Di Tioman, calon BN Mohd Johari Hussain mengekalkan kerusinya menang dengan majoriti 573 undi, mengatasi pencabar terdekat Nor Idayu Hashim dari PN. Mohd Johari mendapat 8,080 undi manakala Nor Idayu mengumpul 7,507 undi.

Pada PRU14, Mohd Johari menang majoriti dengan 1,280 undi.

Pilihan raya di kedua-dua kawasan  yang sepatutnya berlangsung pada 19 November ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada PH bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli di DUN Tioman, mewakili PN. – 8 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen